Jumaat, 14 Mei 2010

SELAMAT PERGI DAN SELAMAT KEMBALI- KHAS UNTUK MAT T.T.

Petang ini pada jam 4 petang tadi beberapa orang rakan-rakan dari Taiping sempat melapangkan masa untuk menghantar beliau Md Hanapiah atau lebih dikenali sebagai Mat Titi ke toll Changkat Jering untuk menyertai ekspedisi ini. kesemua peserta menunggang Kawasaki Versys 650.

Perdana Menteri Lepas Peserta Ekspedisi Kembara Ke Tanah Suci
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melepaskan 15 peserta ekspedisi menaiki motosikal berkuasa tinggi bertemakan "Kembara Ke Bumi Suci 1Malaysia 2010" yang akan melalui jalan darat ke Tanah Suci Mekah.

Najib pada majlis yang diadakan di perkarangan Menara Dato Onn di sini turut menurunkan tandatangan pada plak sebagai merestui program kembara 1Malaysia itu serta menyerahkan Jalur Gemilang dan bendera Umno kepada ketua ekspedisi Nahrawi Marzoki.

Nahrawi berkata program yang diilhamkan sempena sambutan Ulang tahun Umno ke-64 itu akan melalui 12 negara melalui jalan darat, iaitu dari Malaysia ke Thailand, Syria dan Jordan sebelum ke Mekah.

Mereka dijangka pulang ke tanah air pada 10 Julai depan, katanya kepada pemberita sebelum majlis itu.

Beliau berkata program yang julung kali diadakan dan disertai oleh anggota badan bukan kerajaan bertujuan mendidik dan menghayati sejarah Islam seterusnya mengukuhkan lagi semangat ukhuwah sesama manusia.

"Program ini mendapat restu dan sokongan penuh Perdana Menteri. Perdana Menteri nasihatkan agar kami lebih bermotivasi dan bawa semangat 1Malaysia untuk diperkenalkan kepada dunia luar," katanya.

Nahrawi berkata, sepanjang perjalanan mereka akan singgah di 40 buah masjid selain berhenti melakukan tazkirah setiap dua malam sekali.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

-- BERNAMA