Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata selain membabitkan kos yang tinggi, setakat ini tiada permintaan untuk membawa mereka pulang menggunakan pesawat tentera.
Bagaimanapun, beliau berkata semua 12 sukarelawan Malaysia itu turut dibantu Atase Pertahanan Malaysia di Jordan sebaik dilepaskan dari tahanan tentera Israel.
"Selain diberikan makan minum, semua mereka turut diterangkan atase pertahanan tentang beberapa langkah yang perlu diambil untuk pulang ke Malaysia," katanya.
Dalam kejadian itu, kapal Turki yang membawa bekalan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan ke Gaza telah diserang tentera Israel ketika berada kira-kira 68 batu nautika di luar perairan negara itu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban.
Seramai 12 rakyat Malaysia termasuk wartawan dan jurukamera Astro Awani turut berada dalam kapal itu dan mereka dibebaskan dan dibawa ke Jordan.
Zahid turut menggesa negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel agar mengkaji semula hubungan tersebut bagi menentang tindakan Israel yang telah bertindak di luar garis-garis diplomatik.
Beliau berkata, masyarakat dunia bukan hanya perlu mengutuk tindakan Israel tetapi perlu bertindak menghentikan hubungan diplomatik dengan negara tersebut yang biadap dan tidak berperikemanusiaan.
"Tindakan yang dilakukan oleh Israel itu diluar garis diplomatik kerana menggunakan kekerasan dan melakukan tindakan di perairan antarabangsa yang tidak pernah selama ini dilakukan oleh mana-mana negara di dunia," katanya.