Sabtu, 26 Jun 2010

HENTI BERTELAGAH SESAMA SENDIRI

RANTAU PANJANG, 26 Jun - Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin parti itu yang bertelagah menghentikan sengketa dan kembali bersatu demi Umno.

"Kembalilah kepada matlamat asal perjuangan kita dalam Umno, hindarilah kepentingan peribadi dan beri tumpuan kepada pengukuhan parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Rantau Panjang, di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan merujuk kepada perpecahan dalam Umno Rantau Panjang yang menyaksikan kewujudan dua puak, iaitu kumpulan yang dipimpin Ketua Bahagian Abdullah Mat Yasin dan yang diketuai bekas ketua bahagian Datuk Mohd Zain Ismail.

Hari ini kedua-dua kumpulan mengadakan mesyuarat masing-masing di dua tempat berasingan. Abdullah mengadakan mesyuarat di Dewan Kolej Kemahiran Mara dan dirasmikan Ahmad Zahid, sementara Mohd Zain pula mengadakan mesyuarat di Dewan Umno bahagian itu.

Ahmad Zahid turut singgah di perhimpunan yang dipimpin Mohd Zain dan memberitahu pemberita ianya dilakukan di atas arahan Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya pertelagahan itu berterusan ianya akan menjejaskan peluang Umno dan Barisan Nasional untuk menguasai semula kawasan berkenaan pada pilihan raya yang akan datang.