Sabtu, 26 Jun 2010

RUNTUH LAGI DAHAN , RANTING DAN DAUN-DAUN DALAM POKOK PKR

TAWAU, 26 Jun - Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tawau, Eddy Berhan Ruslan hari ini mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Umno.

Eddy Berhan, 51, mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam PKR di hadapan Ketua Umno Bahagian Tawau, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, sempena program Juara Rakyat 'Bulan Belia dan Sukan' anjuran Umno Bahagian Tawau di Kampung Apas di sini.

Beliau yang juga bekas calon PKR bagi kerusi Parlimen Tawau pada pilihan raya umum lalu, berkata kemasukannya ke dalam Umno didorong keinginannya berjuang bersama parti pemerintah untuk membela nasib rakyat.

"Kita sudah ada platform yang baik, bermula dari kemerdekaan, perjuangan Umno diteruskan dengan menekankan perpaduan rakyat melalui Dasar Ekonomi Baru, diikuti oleh Wawasan 2020 dan sekarang 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata keputusannya meninggalkan PKR dan menyertai Umno tidak dipengaruhi sesiapa tetapi atas kemahuan dan kerelaannya sendiri.

Mengenai perjuangan PKR, Eddy Berhan berkata parti itu sudah kehabisan idea untuk membela rakyat dan jika adapun ia cuma meniru parti Umno.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua anggota PKR agar keluar daripada parti itu dan menyahut gagasan 1Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat.