Sabtu, 26 Jun 2010

DR ASRI ( MAZA) MENYOKONG UMNO WALAUPUN BELUM MENYERTAINYA

KUALA LUMPUR - Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin, masuk golongan penyokong UMNO walaupun tidak bersama 40 ulama muda yang menyerahkan borang keahlian kepada presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, malam tadi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Asri tidak sempat datang pada malam tadi kerana beliau masih dalam perjalanan dari Pulau Pinang dan dalam keadaan berteka-teki mengenai statusnya, namun kumpulan 40 ulama muda tetap datang ke majlis yang diadakan sebelum bermula mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Kumpulan ulama tersebut diketuai Penasihat Agama Institut Jantung Neg:ara (IJN), Fathrul Bari Mat Jahya dan Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fadlan Mohd Othman. Borang yang diserahkan kepada Perdana Menteri itu didaftarkan di bawah cawangan Dataran Merdeka.

Pada sidang medianya, Shahidan menjelaskan kumpulan ini terdiri daripada ulama tulen dan tugas utama mereka dalam UMNO adalah untuk menegur perkara yang tidak baik, selain memperkukuhkan nilai Islam dalam parti.

“Mereka sertai UMNO secara berperingkat. kumpulan mereka besar dan kebanyakan daripada yang menyertai UMNO malam ini (semalam) datang dari Kelantan.

“Mereka tidak diupah, mereka masuk untuk berdakwah kerana mereka tetap pegang pada prinsip taat kepada Allah dan Rasul,” katanya.

Ditanya berkenaan reaksi daripada Pas yang mengatakan Ulama yang masuk UMNO seolah-olah menggali kubur sendiri, Shahidan berkata parti pertama yang menubuhkan Majlis Ulama adalah UMNO, tetapi golongan tersebut keluar dan mewujudkan Pas.

“Sekarang ulama telah kembali kepada UMNO. Kita akan beri peranan besar kepada mereka. Mereka ini semuanya berkelulusan tinggi,” katanya.

Shahidan turut menyeru golongan ulama dalam Pas agar bersedia mengadakan pertemuan dengan ulama UMNO untuk membincangkan hal-hal agama dan membina bangsa.

“Politik sekarang haru-birukan masa depan negara. Sebab itu kita perlukan ulama untuk menegur,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menggelar Shahidan sebagai penganut Wahabi, Shahidan berkata, beliau tidak tahu mengenai Wahabi dan tidak harus bercakap mengenainya.

“Adakah kerana di Perlis kami tidak baca doa tahlil terus dilabel sebagai Wahabi. Kalau begitu semua rakyat Perlis dan Raja Perlis adalah Wahabi,” katanya.