Isnin, 25 Mac 2013
Hari Polis yang ke-206
Hari ini merupakan sambutan Hari Polis yang ke-206 sejak ia ditubuhkan pada 1807. Sambutan ini bertujuan menghargai jasa-jasa yang telah ditabur oleh setiap anggota Polis di-Raja Malaysia (PDRM) sejak dahulu sehingga kini. Sungguhpun ia tidak dapat membalas jasa dan pengorbanan setiap anggota polis, namun ia merupakan satu pengiktirafan yang tidak terhingga kerajaan dan rakyat.
Sambutan hari Polis kali ini bertemakan ‘Komuniti Sejahtera Komitmen Kami’. Ini kerana PDRM sentiasa penuh dengan komitmen dalam menjalankan tugas mereka, meski pun terpaksa berkorban nyawa dan kehidupan mereka sendiri untuk rakyat negara ini.
Kewujudannya adalah sebelum negara Malaysia mencapai kemerdekaan lagi iaitu ketika mana sebelum timbulnya saat sukar dan genting zaman darurat di Persekutuan Tanah Melayu. Dahulu ianya ibarat suatu penglibatan masyarakat setempat atau penempatan desa dan juga pinggir bandar bagi maksud membantu pihak berkuasa iaitu Federation of Malaya Police, dan tiada istilah khusus mengenainya.
Pihak kolonial ketika itu memanggilnya dengan panggilan “Auxiliary Police” atau Polis Bantuan. Keanggotaannya ketika itu terdiri daripada masyarakat awam yang sukarela untuk berbakti tanpa menuntut saraan bulanan. Auxiliary Police atau Polis Bantuan dan Polis hari ini adalah dua pertubuhan berbeza dari segi penugasan dan juga pembatasan kuasanya.
Sejarah PDRM dan Pasukan Sukarelawan Polis
25 Mac 1807 – Pegawai British pertama menjadi ketua polis berpangkat Sheriff.
1825 – Penubuhan Burglar Guard di Melaka bagi mengawal keselamatan pelabuhan dan persekitarannya ketika itu.
1856 – Negeri Pulau Pinang, Melaka dan Singapura telah digabungkan dan wujudlah Straits settlement of Police.
1874 – British meluaskan jajahan takluknya di negeri Perak, Negeri Sembilan dan Pahang, serta melengkapkan negeri – negeri tersebutu dengan pasukan polisnya.
1896 – Penubuhan pasukan Polis negeri – negeri Tanah Melayu.
1946 – Malayan Union digagaskan, dan Polis Tanah Melayu di tukar nama kepada Polis Malaya dan beribu pejabat di Kuala Lumpur.
1948 – Polis Malaya ditukar nama kepada Federation of Malaya Police.
1948 – Darurat di Tanah Melayu, menyebabkan penubuhan Kawalan Keselamatan Kampung, Sukarelawan Polis dan juga Polis Bantuan bagi menjaga keamanan negara dan juga aset – aset pihak British sehinggalah tamatnya darurat.
1956 – Police Volunteer Reserve (PVR) ditubuhkan secara rasmi lanjutan dan rentetan kecemerlangan dan jasa – jasa dari peristiwa darurat dan bagi tujuan pengawasan wujudlah Police Volunteer Regulations 1956.
1957 – Auxiliary Police (AP) atau Polis Bantuan telah dimansuhkan oleh PDRM.
24 Julai 1958 – DYMM Yang Dipertuan Agong memberi gelaran Di Raja (Royal).
16 Sept 1963 – Negara Malaysia ditubuhkan dan semua pasukan polis di Sabah, Sarawak, Singapura, dan negeri-negeri di Semenanjung digabungkan menjadi satu pasukan polis sahaja.
1965 – Polis Singapura keluar dari pasukan kerana negara tersebut menjadi Republik yang berasingan dari Malaysia.
1967 – Akta Polis 1967 diwujudkan selepas Singapura keluar dari Malaysia dan telah di draf pada Tahun 1965. Akta tersebut setelah mendapat perkenan DYMM Agong ketika itu menggunakan perkataan DiRaja kepada Pasukan PDRM (Tetap), Sukarelawan Polis dan Polis Simpanan (bekas Pegawai Kanan PDRM bersara sehingga umur 60 tahun) – Rujuk akta.
1970 – Polis Bantuan telah diwujudkan semula dengan objektif yang berbeza berbanding tahun 1948, dan pada awalnya hanya syarikat – syarikat atau badan berkanun ekuiti kerajaan sahaja yang layak menubuhkan pasukan polis bantuan sendiri.
Kejayaan PDRM Banteras Krisis & Jenayah
Dari dulu hingga kini, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya mengiktiraf kejayaan pihak PDRM yang berjaya menyelesaikan pelbagai krisis dan jenayah yang pernah melanda dalam negara kita. Tidak kira sejauh mana kritikal satu-satu situasi tersebut, PDRM masih lagi mencuba mencari jalan bagi memastikan krisis tersebut berakhir dengan selamat tanpa berlakunya sebarang pertumpahan darah.
Perlu bagi kita untuk mengetahui beberapa siri krisis yang pernah berlaku dari dahulu sehingga kini supaya dapat dijadikan iktibar dan pengajaran agar tidak mudah meremehkan jasa bakti pihak polis. Walaupun ketika ini terlalu banyak tohmahan dan kata-kata keji dilemparkan kepada pihak polis, penghujungnya pasti khidmat dan pertolongan pihak polis yang diperlukan.
Peristiwa 13 Mei 1969
pada tahun 1969 ialah rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan “Pilihan Raya Umum 1969″ merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.
Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969.
Dikatakan parti DAP yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu (‘menyingkir’) orang-orang Melayu ke laut. Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.
Tindakan tersebut telah membangkitkan rasa kemarahan dalam kalangan orang Melayu hingga mencetuskan pergaduhan besar dan berlakunya huru-hara. Bnayak orang Melayu dan Cina terbunuh kerana rusuhan ini. Ini menyebabkan kerajaan mengisytiharkan darurat dan menubuhkan Majlis Tindakan Negara (MAGERAN).
Ketika Mageran ini polis dan tentera bekerjasama memulihkan keamanan dengan sentiasa bersiap-sedia dan berkawal di sekitar Kuala Lumpur sehingga akhirnya berjaya memulihkan keamanan negara.
Polis Malaysia Atasi Penjenayah Antarabangsa - Japanese Red Army
Selepas peristiwa 13 Mei 1969, kecekapan anggota polis sekali lagi diuji pada 1975 apabila negara digembarkan dengan kemunculan Japanese Red Army (JRA) atau ‘Tentera Merah Jepun’.
JRA dikenali juga sebagai Anti-Imperialist International Brigade (AIIB), Briged Perang Suci dan Barisan Demokratik Anti Peperangan. Diasaskan oleh Fusako Shigenobu, seorang wanita Jepun.
Pada 1970-an kumpulan ini banyak melakukan serangan dan pembunuhan di seluruh dunia. Tujuan perjuangan JRA ialah menghapuskan kerajaan Jepun dan sistem monarki di Jepun dengan melancarkan revolusi di seluruh dunia sejak September 1969.
Pada 4 Ogos 1975, sejarah telah mencatatkan peristiwa yang pahit buat rakyat Malaysia apabila 5 pengganas Tentera Merah Jepun (JRA) ini telah menawan tingkat 9, Bangunan AIA (American Insurance Associates). Dalam keadaan itu juga kelima-lima pengganas itu turut menawan 53 orang awam.
JRA bertindak sedemikian kerana mahu memaksa Jepun dan Sweden membebaskan tujuh rakan mereka yang ditahan di kedua-dua negara tersebut. Di sini sekali lagi kecekapan anggota polis Malaysia yang diketuai oleh Zaman Khan. (Luangkan masa anda menonton video ini)
Peristiwa Memali 1985
Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985. Insiden ini mengorbankan 14 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang. Polis memanggil operasi ini sebagai ‘Operasi Angkara/Operasi Hapus’. Peristiwa ini tercetus kerana usaha penyebaran ajaran sesat di Malaysia.
Seorang individu, Ustaz Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya dikenal pasti sebagai ketua dalam menyebarkan ajaran sesat di Kampung Memali yang terletak di mukim Siong, Baling, Kedah berhampiran dengan Siam dan Patani.
Pihak Polis berusaha untuk membuatkan Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya menyerah diri melalui rundingan yang diadakan. Namun, keengganan Ibrahim Libya menyerahkan diri telah membuatkan pihak polis mengambil tindakan mengepung kawasan terbabit. Ekoran dari tindakan polis itu, pengikut Ibrahim Libya berasa tidak puas hati kerana pergerakan mereka dihalang oleh pihak polis selama beberapa bulan dan telah bertindak menyerang kepungan polis dengan bersenjatakan parang, lastik dan molotov cocktail (bom petrol).
Kementerian Dalam Negeri Malaysia menerusi polis dan pegawai agama di Jabatan Agama Islam tidak mahu insiden ini berpanjangan. Ajaran sesat haruslah ditumpaskan terlebih dahulu sebelum menjadi tragedi.
Di Kem Pasukan Polis Hutan Sungai Petani, Kedah; 3,600 anggota polis daripada pelbagai bahagian termasuk FRU (Pulau Pinang), Pasukan Senoi Praaq, anggota polis beruniform, Unit Tindakan Khas (UTK Berpakaian Komando 69) dari Bukit Aman menerima taklimat dari pegawai Bukit Aman.
Pada malam hari tersebut, pihak polis telah menyerbu madrasah yang menjadi markas Ibrahim Libya dan para pengikutnya. Dalam serbuan tersebut, seorang pegawai kanan Pasukan Polis Hutan, seorang anggota pangkat rendah dan seorang konstabel tertembak. Dianggarkan seramai 13 penduduk Memali terbunuh dalam serbuan tersebut termasuk Ibrahim Libya.
Sungguhpun ada pihak mempertikaikan cara pengendalian tragedi ini, namun jasa dan bakti Polis memastikan insiden ini tidak merebak seperti Peristiwa 13 Mei 1969 harus dihargai. Jika tidak ditangani dan dibendung tidak mustahil insiden Memali akan menjadi lebih besar dari 13 Mei kerana kumpulan ini telah dihasud dan ditarbiah sebagai mennatang Polis dan Kerajaan BN adalah jihad.
Peristiwa Sauk, Tahun 2000
Al-Ma’unah (Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma’unah) adalah sebuah organisasi pengganas militan di Malaysia yang terkenal dengan keberaniannya melakukan pencerobohan nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah pada subuh 2 Julai 2000 dan melarikan sejumlah besar senjata api daripada stor persenjataan. Kumpulan tersebut kemudiannya mendirikan pangkalan rahsianya di kawasan hutan berhampiran perkampungan di Sauk, negeri Perak dan terlibat dalam pertempuran di antara Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Mohamed Amin bin Mohamed Razali yang merupakan pemimpin kepada 29 ahli kumpulan Al-Ma’unah mengetuai misinya untuk menggulingkan kerajaan Malaysia. Kumpulan ini, termasuk seorang Mejar daripada Tentera Darat Malaysia. Mereka berpakaian pegawai kanan tentera dan berlagak melakukan pemeriksaan mengejut ke atas Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Empangan Temenggor, Gerik, negeri Perak. Mereka berjaya memperdayakan anggota tentera di situ dan melarikan senjata-senjata di kem tersebut.
Dalam peristiwa ini, berlakunya insiden tembak-menembak apabila salah seorang pengikut Al-Mau’nah telah ditembak oleh polis. Pada pagi 5 Julai 2000, seorang anggota Al Ma’unah, Abu Bakar bin Ismail telah ditembak oleh pasukan keselamatan. Sebagai tindak balas, Amin dan rakan-rakannya bertindak membalas tembakan.
Dua jam sebelum insiden tersebut, ASP Abd Razak bin Mohd Yusoff terlebih dahulu bergerak ke markas tersebut bersama dengan 20 orang anggota pasukan elitnya 69 Komando PGK PDRM menaiki bukit ke arah di Kumpulan Al-Ma’unah berkhemah. Setelah mendapat perlindungan yang sesuai untuk ahli kumpulannya, Abdul Razak bergerak bersendirian menyelinap masuk ke kubu. Dengan sikap berani dan tawakkal, beliau menemui sendiri Ketua Kumpulan Al-Ma’unah iaitu Amin. Maka, berlakulah perbincangan dan perdebatan secara ‘ilmiah’ antara Abdul Razak dan Amin yang mengambil masa selama 2 jam dan akhirnya, ketua kemupulan Al-Ma’unah tersebut bersetuju untuk menyerah diri. Maka, setelah Amin setuju untuk menyerah diri barulah ASP Abdul Razak memanggil Pasukan Leftenan Jeneral Zaini untuk proses perletakkan senjata.
Insiden Pencerobohan Lahad Datu
Peristiwa-peristiwa yang mampu mengganggu-gugat keamanan negara yang tercatat dalam sejarah memaparkan segala usaha dan jasa yang ditaburkan pihak polis tidak terhenti setakat itu sahaja. Krisis yang terbaru adalah insiden pencerobohan pengganas Sulu dari Filipina. Pengganas Sulu yang mengaku mereka dari Kesultanan Sulu telah menceroboh masuk ke Lahad Datu, Sabah sejak Februari lalu kerana mempunyai tujuan menuntut kembali negeri Sabah sebagai hak mereka.
Mereka yang diketuai oleh Sultan Jamalul Kiram III telah memulakan insiden tembak-menembak walaupun rundingan secara baik telah diadakan meminta kumpulan yang lengkap bersenjata itu menyerah diri.
Permulaan insiden tembak-menembak itu telah mengorbankan beberapa anggota keselamatan negara yang sedang berkhidmat mengawal keselamatan keadaan kawasan ketika itu. Sehingga kini terdapat beberapa lagi jumlah pengganas yang masih lagi enggan menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Pihak polis termasuklah angkatan tentera masih lagi bertungkus lumus membanteras pengganas-pengganas Sulu yang masih lagi bersembunyi di beberapa kawasan di Sabah.
Insiden-insiden yang tersenarai di atas menunjukkan betapa anggota polis negara langsung tidak gentar untuk melawan musuh-musuh negara biar pun nyawa mereka terkorban sekali pun. Ini kerana, apabila sudah menyandang tanggungjawab bergelar polis, mereka mempunyai satu kesedaran dan perlu untuk mengekalkan keamaan negara yang dikecapi sejak negara mencapai merdeka pada tahun 1957.
Justeru, jawatan sebagai polis merupakan platform sebenar dan amat bernilai untuk memberikan pengajaran kepada orang ramai bahawasanya anggota polis tidak pernah terlepas dari memberikan jasa dan khidmat kepada negara. Malah, masyarakat juga seharusnya mengiktiraf setiap usaha yang ditabur oleh anggota polis.
SUMBER MYKMU