Segala puji dan puja hanya bagi Allah, solat  dan salam ke atas Rasulullah, seterusnya:
Soalan ini, 'Kenapa  masuk UMNO?' bukan sahaja ditujukan kepada saya, bahkan ditujukan juga  kepada rakan-rakan seperjuangan. Cuma, ada yang memahami dan ada yang  sukar menerima. Apapun, ingin saya nyatakan di sini kepada ikhwah  sekelian bahawa kemasukan kami ke dalam UMNO telah dilakukan selepas  pelbagai perbincangan dan penelitian dibuat termasuk mengambil pandangan  ulama yang lebih senior.
Tujuan utama kami memasuki UMNO adalah  untuk berdakwah dari dalam, untuk kebaikan ahli-ahli UMNO yang kami  rasakan amat subur untuk proses peningkatan ilmiah, keagamaan dan  kerohanian. Bukanlah tujuan kami untuk menimbulkan keresahan mahupun  permusuhan di kalangan para pendakwah baik dalam UMNO mahupun dalam  mana-mana parti, juga NGO-NGO. Kami hanya ingin mengambil peluang dan  menerima janji pihak atasan UMNO yang ada menawarkan ruang luas untuk  kami berdakwah. Dengan izin Allah jua, kami akan berusaha sedaya upaya  untuk menepati prinsip Ahli al-Sunnah wal-Jama‘ah dalam menyebar  kebenaran dan berdakwah.
Seawal perbincangan, kami telah dapat  merasakan akan timbul di hari penyerahan borang dan selepasnya nanti  pandangan yang selesa, sinis dan juga berkecuali. Tetapi itu adalah asam  garam perjuangan dakwah. Kami memohon agar Allah Ta‘ala sentiasa  memberi petunjuk dan menetapkan pendirian kami dan semua pendakwah dalam  melaksanakan usaha pembaikan. 
Akhir kata, kami pohon agar semua  sahabat yang prihatin terhadap perjuangan kami ini, sentiasa mendoakan  agar kami tetap di atas landasan kebenaran bersesuaian dengan ruh Islam  yang suci.