Jumaat, 30 Julai 2010
Fasal 153, Hak Keistimewaan Melayu Jangan Dipolitikan (Bahagian 2)
KUALA LUMPUR 30 Julai -- Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun membidas pihak pembangkang khususnya DAP yang seringkali menimbulkan hal-hal berkaitan hak keistimewaan orang Melayu.
Katanya, seharusnya perkara tersebut tidak berlaku kerana ia termaktub dalam Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan.
"Saya melihat situasi ini seolah-olah mencabar apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana kalau kita kaji sejarah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan juga Perlembagaan Persekutuan 1957, Artikel 153 adalah salah satu artikel berbentuk 'entrenched'," katanya kepada umno-online.com.
Jelasnya lagi, Artikel 153 tersebut adalah tunjang kepada Perlembagaan Persekutuan iatu hak orang Melayu sama ada berkenaan dengan permit dan juga perkhidmatan; termasuk di dalamnya biasiswa dan sebagainya, adalah hak yang telah dilindungi termaktub.
"Oleh itu ia tidak boleh dicabar atau dibincangkan sekalipun, malah tidak boleh dicela atau dicaci oleh mana-mana pihak," tegasnya merujuk berkenaan i DAP dan juga beberapa kumpulan-kumpulan pendesak yang kebanyakannya bukan Melayu mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dalam beberapa perkara.
Menurut beliau, apabila DAP membangkitkan hal sedemikian, dapat dilihat bahawa perjuangannya tersasar daripada sebuah parti sosialis menjadi rasis. "Pihak sedemikian cuba untuk menimbulkan perasaan benci, rasa tidak sama rata dan perasaan bahawa sesuatu kaum itu lebih superior dari kaum yang lain. Ini adalah permainan politik yang bahaya kerana boleh menimbulkan masalah dan dikaitkan dengan hasutan.
"Menerusi Akta Hasutan 1948, secara ringkas menerangkan bahawa, ia adalah satu perbuatan menghasut apabila mempertikaikan apa jua perkara, hak, posisi, keistimewaan dan sebagainya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan."
Justeru, katanya jika ianya dibiarkan berterusan maka akan mewujudkan satu perkara yang boleh menimbulkan satu-satu kaum dalam masyarakat bersikap prejudis dan jika dilihat dari aspek perundangan maka tindakan boleh dilakukan di bawah Akta Hasutan.
"Saya sendiri perlu berhati-hati apabila memperkatakan tentang Artikel 153 ini kerana tidak mahu melanggar undang-undang dengan dikaitkan di bawah Akta Hasutan atau dicap serbagai ultra Melayu dengan kenyataan saya disalahguna," tegasnya.
Menurut beliau, ultra Melayu ini sendiri mula diperkatakan sejak penerbitan buku 'Malay Dilemma' oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga hari ini dan ia telah diberi satu konotasi yang berbentuk negatif.
"Kita tidak boleh nafikan di dalam diri kita masing-masing ada ultranya tetapi apa yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bawa dalam konsep 1Malaysia adalah satu prinsip toleransi yang berbentuk penerimaan iaitu setiap bangsa perlulah menerima hak kewujudan, keistimewaan, kelebihan kaum-kaum lain agar semua dapat hidup dalam masyarakat yang harmoni."
Hafarizam turut menyatakan kekesalannya berkaitan perkara terbabit dan berharap agar pihak pembangkang menggunakan isu-isu lain dalam hal politik. "Carilah perkara lain untuk dipolitikkan dan lakukanlah secara matang agar tidak menyebabkan timbulnya persaaan marah terhadap orang bukan Melayu atau UMNO sendiri.
"Kalau DAP betul-betul parti yang memperjuangkan sosialis, iaitu berteraskan kerajaan mengatasi segalanya maka tentu mereka tidak bersifat rasis. Dalam keadaan ini double standard atau tidak konsisten diamalkan kerana posisi mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu."