Rabu, 21 Julai 2010

PELAJAR 15 TAHUN TURUT BERGADUH ?

GEORGE TOWN: Polis menahan 16 orang, termasuk seorang pelajar berusia 15 tahun bagi membantu siasatan satu kes pergaduhan di Taman Lip Sin di Sungai Dua di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pada kejadian kira-kira jam 11 malam itu, sekumpulan lelaki bersenjatakan pisau dan parang dikatakan bertindak ganas dengan menyerang dua lelaki yang sedang menjaja di kawasan awam di taman berkenaan.
Katanya kedua-dua peniaga itu sempat melarikan diri dan diselamatkan polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan orang ramai.

Kedua-dua penjaja itu dipercayai sebelum itu telah berselisih faham dengan salah seorang anggota kumpulan yang menyerang mereka.

"Kumpulan penyerang terbabit kemudiannya melarikan diri dengan dua kereta dan dua motosikal setelah ternampak kehadiran polis di kawasan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun kesemua mereka ditahan di kawasan Queens Bay di sini empat jam kemudian setelah polis berjaya mengesan kenderaan mereka di kawasan tepi laut itu.

Gan berkata, selepas menggeledah kenderaan berkenaan, polis menemui senjata tajam seperi parang dan pisau yang dipercayai digunakan untuk pergaduhan.