Selasa, 3 Ogos 2010

JHO LOW PERLU SAMAN ANWAR BERIKUTAN TUDUHAN TERBABIT DENGAN 1MDB

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa jutawan Low Taek Jho, yang lebih dikenali dengan panggilan Jho Low, telah diberikan kontrak pembangunan semula pangkala udara Sungai Besi.

Berucap pada ceramah di Taman Ehsan, Selayang malam semalam, Anwar membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang didakwanya tergesa-gesa menswastakan aset negara untuk mendapatkan keuntungan segera.

Menurut Anwar, senarai itu termasuk Lapangan Terbang Sungai Besi yang dianggap sebagai khazanah nasional kerana ia merupakan lapangan terbang pertama negara.

"Ini Jho Low boleh pergi 'enjoy' dengan Paris Hilton. Arak pun jutaan ringgit. Najib dan Rosmah bagi projek. Tender? Tiada. Cadangan projek? Tiada. Bolehkah rakyat terima ini,” soal Anwar.

Pada Jun lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kepada Dewan rakyat, lapangan terbang itu yang sekarang digunakan oleh tentera udara akan dipindahkan dan tapak berkenaan diswastakan dan dijual kepada Pembangunan 1Malaysia Bhd (1MDB).

Ini dilakukan tanpa tender terbuka kerana dakwa Ahmad Zahid masih melalui 'proses yang telus' kerana perjanjian itu tidak menjejaskan kepentingan kerajaan.

PKR mendakwa perjanjian itu bernilai RM500 juta dan dikaitkan dengan Low kerana pembabitannya dengan Lembaga Pelaburan Terengganu yang kemudiannya diperbadankan menjadi 1MDB.

Bagaimanapun pada wawancaranya dengan the Star minggu lalu, Low menafikan dakwaan berkenaan.