Rabu, 18 Ogos 2010
Perak Today-Batal Pewartaan Pengambilan Tanah Kekal Milik D.I.A.
IPOH, 17 Ogos (Bernama) — Kerajaan negeri Perak telah mengarahkan Pengerusi MIC negeri Datuk S Veerasingam supaya berjumpa pegawai tanah dan galian daerah Manjung bagi membatalkan cadangan mewartakan tanah milik Dindings India Association (DIA) di Sitiawan.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pembatalan pewartaan tanah itu perlu dilakukan berikutan bantahan masyarakat India yang tidak mahu menyerahkan tanah seluas 2.2 hektar milik DIA kepada Kementerian Pelajaran untuk membesarkan sebuah sekolah di situ.
“Sebenarnya ini bukanlah satu masalah besar. Kita bersedia untuk membatalkannya kerana memahami akan tingginya nilai sentimental tanah itu kepada kaum India.
“Tetapi isu ini dimanipulasi dan dipolitikkan oleh pembangkang seolah-olah ia sesuatu yang serius sehingga mereka bercadang mengadakan demonstrasi besar-besaran di hadapan pejabat daerah,” katanya kepada pemberita di sini Selasa.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Veerasingam semalam yang mahukan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Dr P Ramasamy dan anggota Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan supaya menghentikan perbuatan menghasut kaum India di Sitiawan untuk mengadakan demonstrasi bagi membantah pengambilan tanah terbabit.
“Pemimpin MIC sudah berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang juga Menteri Pelajaran untuk memaklumkan mengenai bantahan masyarakat India.
MIC telah lakukan apa yang seharusnya mereka buat untuk mempertahankan tanah itu, katanya.
Minggu lepas, kerajaan pusat mengeluarkan notis untuk mewartakan tanah itu bagi membesarkan Sekolah Rendah Kebangsaan Simpang Empat dan pendengaran bagi pengambilan itu akan diadakan di Pejabat Tanah Manjung pada 25 Ogos.
Tanah milik DIA itu dibeli hasil daripada sumbangan generasi pertama kaum pendatang India di Sitiawan yang bertanggungjawab membersihkan kawasan itu untuk dijadikan ladang getah lebih 80 tahun dulu.
Tanah itu dibeli oleh mereka bagi membolehkan sebuah sekolah Inggeris dibina bagi pendidikan anak-anak penoreh getah.