Jumaat, 20 Ogos 2010

VAT 69- SELAMAT HARI PAHLAWAN- MERDEKA-HAPUSKAN MUSUH NEGARA

VAT 69/UTK atau Komando 69 dan Unit Tindakan Khas merupakan pasukan khas Polis Diraja Malaysia berpengkalan Briged Utara Ulu Kinta, Perak dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, diletakkan dibawah arahan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam.

Anggota Komando 69 semasa menjalani latihan menembak HK MP5 di lapang sasar. Perhatikan salah seorang anggota unit ini cuba menembak melepasi celah jari jurulatih ke papan sasaran dengan menggunakan peluru hidup.

Latihan sebegini amatlah menguji kemampuan seseorang penembak terutamanya menembak ke arah sasaran yang sukar, lebih-lebih lagi sekiranya berhadapan dengan pihak musuh yang menggunakan tebusan.


Komando 69

Komando 69 telah dilatih khusus oleh pasukan United Kingdom Special Air Service Regiment pada tahun 1969 untuk membanteras sebarang kegiatan insurgensi oleh Parti Komunis Malaya.

Nama Komando 69 ini diambil bersempena tahun 1969 ditubuhkan sebagai unit tempur khas untuk menghapuskan sebarang bentuk teknik pertempuran dan taktik gerila oleh pengganas komunis. Penubuhan unit ini bermula apabila Menteri Pembangunan dan Keselamatan Dalam Negeri, Allahyarham Tun Dr. Ismail mengemukakan cadangan untuk menubuhkan satu pasukan elit untuk menentang sebarang bentuk ancaman insurgensi komunis pada tahun 1969.

Pada bulan Oktober 1969, lebih kurang 60 daripada 1600 pegawai dan anggota Pasukan Polis Hutan (sekarang Pasukan Gerakan Am, PGA) telah dipilih dalam sesi latihan Komando 69 dan akan menjalani latihan asas komando.

Sepasukan jurulatih dari United Kingdom Special Air Service Regiment telah dihantar ke Fort Kemar, Perak untuk melatih platun percubaan Komando 69.

Diakhir latihan ini, hanya 30 orang sahaja yang berjaya dan merupakan trup nukleus pertama Komando 69. Pada tahun 1970an, unit ini memulakan operasi komandonya dan telah dihantar untuk menghapuskan pengganas komunis dihutan.

Keputusannya, ramai diantara pengganas komunis telah dibunuh, dicederakan dan lain-lain berjaya ditangkap serta jumlah senjata dan kelengkapan komunis berjaya dirampas.

Pada tahun 1977, skuadron Komando 69 telah pertingkatkan kepada 3 pasukan dan telah dilatih oleh New Zealand Special Air Service serta mengadakan kursus khas untuk melatih para jurulatih Komando 69 yang terdiri daripada anak watan Malaysia sendiri.

Program ini berjaya pada tahun 1980 dan unit ini mempunyai sebarang kelengkapan khas dan keperluan logistiknya sendiri.

Anggota Unit Tindakan Khas bersenjatakan SMG HK MP5 dan pistol Vektor SP1 dalam sesi latihan CQB di fasiliti latihan.

Unit Tindakan Khas merupakan pasukan khas kedua PDRM selepas Komando 69. Unit ini dipercayai ditubuhkan selepas Malaysia digegarkan dengan serangan pengganas (bukannya pengganas komunis) oleh sekumpulan Pengganas Merah Jepun atau nama dalam bahasa Jepun dikenali sebagai Nippon Seki-gun telah menjadikan lebih kurang 50 orang diplomat Amerika Syarikat dan Sweden serta diplomat tempatan sebagai tebusan di Kedutaan Amerika di bangunan AIA, Kuala Lumpur pada bulan Ogos 1975, 2 tahun selepas insiden tebusan di Munich, Jerman oleh pengganas Black September Palestin pada tahun 1973.

Pengganas terbabit mengemukakan tuntutan kepada kerajaan Amerika untuk membebaskan 5 orang ahlinya yang telah dipenjarakan dan diterbangkan ke Libya. Sepertimana Komando 69, Unit Tindakan Khas telah mendapat latihan daripada para jurulatih SAS dan dipertingkatkan dengan taktik yang berlainan oleh SWAT Amerika dan dibekalkan dengan persenjataan khas seperti S&W .38 dan Colt M1911A1 serta Colt M16A1, mengamalkan taktik-taktik khas terkini yang diamalkan oleh unit-unit SWAT Amerika Syarikat.

Dalam sesi penyertaan, hanya 20 orang pegawai polis sahaja yang telah berjaya dalam pemilihan ini. Pasukan ini turut menjalankan kawalan keselamatan di Stadium Bukit Jalil sempena Sukan Komanwel 1998 bersama dengan Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia.

Penggabungan

Rencana utama: Pasukan Gerakan Khas

Pada 20 Oktober 1997, bermulanya detik-detik bersejarah dalam pasukan Polis Diraja Malaysia apabila kedua-dua unit ini dibubarkan dan disatukan ke dalam satu unit baru dikenali sebagai Pasukan Gerakan Khas, dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Dr Mahathir bin Mohamad dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor. Dibawah tanggungjawab pengarah jabatan yang sama, pasukan ini menjalankan operasi-operasi khas sepertimana statusnya sebagai pasukan elit.

Motto-Warisan Darah Perwira
Hitam-Simbolik kepada penugasan Komando 69 dalam operasi-operasi yang mempunyai kerahsiaan yang tinggi.
Merah-Melambangkan keberanian bagi perajurit-perajurit Komando 69
Kuning-Melambangkan Ketaatsetiaan kepada Raja dan Negara.
Lembing / Tombak-Senjata tradisi yang digunakan oleh pahlawan-pahlawan dan pendekar-pendekar Melayu.
2 Bilah Kerambit-Merujuk kepada angka 69, melambangkan membunuh musuh secara senyap

Latihan
Latihan asas Komando 69 terdiri daripada 3 fasa;

Fasa Pertama
Setiap pelatih akan diberi latihan khusus dalam teknik rondaan khas.

Fasa Kedua
Setiap pelatih akan diberi latihan dan teknik seperti penyusupan khas, komunikasi, perubatan perang dan penggunaan bahan letupan. Para pelatih diajar memasang jerangkap samar, mematikan bahan letupan dan pelbagai teknik pertempuran.

Fasa Ketiga
Latihan yang terakhir, para pelatih akan diuji dengan pelbagai aspek berkaitan teknik-teknik yang telah dipelajari. Diakhir latihan, perhatian khusus akan diberi kepada pelatih-pelatih untuk menentukan siapa diantara yang mempunyai potensi sebagai anggota unit ini.

Payung Terjun
Pasukan payung terjun Komando 69 bermula pada 1978 dimana 65 pegawai dan anggota dihantar ke Hua Hin, Thailand untuk dilatih oleh tenaga pengajar dari Pusat Latihan Payung Terjun Pasukan Polis Sempadan Polis Diraja Thailand.

Latihan asas payung terjun dijalankan selama sebulan dimana setiap pelatih dikehendaki melakukan terjun statik. Setiap peserta hendaklah melakukan 10 kali penerjunan termasuk sekali di permukaan air. Setelah mendapatkan sayap penerjunan, semua pelatih akan dilatih dengan penerjunan bebas atau kursus lanjut (HALO / HAHO).

Cawangan Latihan Para Komando 69 bertanggung jawab untuk mempertingkatkan latihan payung terjun dari asas hingga ke peringkat lanjutan, termasuk rappelling & abseiling dari helikopter. Secara fakta, Komando 69 juga turut melatih kemampuan mereka tersendiri.

Tempur Jarak Dekat (CQB) dan Menyelamat Tebusan
Latihan tempur jarak dekat dijalankan oleh jurulatih Komando 69 sendiri. Kursus ini dikhaskan untuk taktik dan teknik operasi anti-pengganas. Antaranya adalah menyelamat tebusan di dalam bangunan, pesawat dan kereta api.

Menyelam
Keanggotaan lain yang diterapkan dalam Komando 69 adalah menyelam, separuh dari anggota Komando 69 mampu melaksanakan misi penyelaman. Latihan selama sebulan dilanjutkan dengan kursus ’Dive Master’ dengan kemampuan menyelam sedalam 150 kaki (50 meter). Mereka mampu dikerahkan dari pesawat helikopter.

Umumnya, kemampuan anggota Komando 69 berkemungkinan mengikuti kursus peringkat master untuk pertempuran gerila/hutan, FIBUA / OBUA / MOUT, penembak tepat, mencari dan menyelamat, payung terjun, tempur jarak dekat, tempur tanpa senjata, komunikasi, selam tempur, perubatan, kawalan rapat dan juga serbuan kapal.


Keputusan Komando 69 untuk menjadikan kemampuan cross-training dibuat bagi semua anggota untuk memiliki lebih dari satu keanggotaan. Setiap tahun beberapa anggota Komando 69 juga turut dihantar untuk mengikuti kursus di luar negara.

Kelengkapan
Pasukan Komando 69 dan Unit Tindakan Khas dilengkapi dengan peralatan khas sepertimana pasukan khas SAS, SWAT dan SEAL. Disini adalah senarai senjata dan kelengkapan yang digunakan oleh kedua-dua unit ini.

1 Pistol Colt M1911A1 berkaliber .45 ACP buatan Amerika Syarikat pernah digunakan oleh para pegawai tentera British, askar Melayu dan pegawai polis Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Polis Diraja Malaysia) semasa Perang Dunia Kedua dan Darurat di Tanah Melayu. Manakala Beretta M92F/S digunakan oleh Komando 69, UTK dan Rejimen Askar Melayu Diraja pada tahun 1970an semasa penugasan menentang pengganas komunis.

Apabila kerajaan Malaysia memperkenalkan sistem persenjataan terbaru yang terdiri daripada jenis Glock, Sig Sauer dan Steyr pada tahun 1980an, Beretta dan Colt telah dihentikan perkhidmatannya, tetapi hanya 1% pegawai dan anggota sahaja yang masih menggunakannya terutamanya dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Persenjataan, malahan Cawangan Battalion Perisikan 165 Angkatan Tentera Malaysia juga turut menggunakannya. Manakala raifal HK 33 dan HK G3 dihentikan perkhidmatannya pada tahun 1990 dan digantikan dengan raifal Colt M4A1, HK G36C, HK MSG 90 dan HK PSG-1 sebagai senjata utama.

Kelengkapan
• Alat Pandang Malam (Night Vision Goggle, NVG)
• Pejera Laser
• Pejera EO Tech
• Ves Kalis Peluru

Misi dan operasi
Pasukan elit Komando 69 dan UTK mempunyai rekod pertempuran yang baik tetapi mempunyai profil yang rendah, khasnya UTK.

1969 - Komando 69 memulakan operasi pertamanya di hutan dan berjaya menumpaskan sebilangan besar komunis dan merampas kesemua senjata dan kelengkapan komunis.

19 November 1985 - Unit anti-pengganas Komando 69 bersama seluruh formasi PDRM didalam operasi yang dikenali sebagai Ops Hapus melakukan serbuan ke atas kediaman Ibrahim Mahmud yang dikenali sebagai Ibrahim Libya di Kampung Memali, Baling, Kedah yang menyebabkan beliau terkorban ditembak berpuluh kali di dadanya bersama 13 penduduk kampung. Selain itu, seorang pegawai kanan PPH dan dua anggota polis turut terkorban, dipercayai tertembak sesama sendiri.

Berikutan insiden kegiatan lanun yang mengganas di kawasan pekan di Sabah, pasukan Komando 69 telah dihantar beroperasi untuk menumpaskan aktiviti lanun di Sabah dan hasilnya, kegiatan lanun berjaya dihapuskan.

Oktober 1985 - Unit Tindakan Khas terlibat dalam satu operasi menyelamat tebusan seorang doktor dan pembantu perubatan oleh enam banduan yang bersenjata api di Penjara Pudu, Kuala Lumpur. Enam hari kemudian, serbuan yang dijalankan berjaya membuahkan hasil apabila tebusan tersebut berjaya diselamatkan, manakala Jimmy Chua, seorang penjenayah warga Singapura yang merupakan dalang disebalik drama tebusan tersebut berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Seorang ahli militan MNLF Filipina bernama Rizal Aleh berjaya melarikan diri ke Sabah bersama bapanya dan memulakan kegiatan jenayah dengan taktik-taktik lanun. Apabila Komando 69 yang diketuai oleh DSP Mohd Noor bin Razak dihantar sekali lagi ke Sabah, Rizal, bapanya dan rakan-rakannya berjaya diberkas dan dihadapkan ke mahkamah Semenanjung atas jenayah yang dilakukan, kemudiannya Rizal dan bapanya diserahkan kepada kerajaan Filipina memandangkan kedua-duanya amat dikehendaki oleh pihak berkuasa di negara tersebut.

 29 Jun 1994 - Unit Tindakan Khas telah melakukan serbuan ke atas sebuah tempat persembunyian P. Kalimuthu atau Bentong Kali di Medan Damasara, Selangor. Dalam serbuan ini, penjenayah yang paling dikehendaki polis ini berjaya ditembak mati.


1 April 2009 - Unit anti-pengganas Unit Tindakan Khas bersama Cawangan Khas PDRM didalam operasi pada waktu Subuh melakukan serbuan ke atas persembunyian Ketua Jemaah Islamiah Singapura, Mas Selamat Kastari di Kampung Tawakal, Skudai, Johor yang menyebabkan beliau berjaya ditangkap bersama 2 orang kanannya, Abdul Matin dan Johar. Penangkapan pemimpin JI dan juga pengganas berbahaya Asia ini merupakan satu kejayaan besar PDRM dalam usaha membanteras keganasan.



KOMANDO 69