Ahad, 19 September 2010

Serah kerusi jika tidak yakin

Zahid Hamidi
Parti Gerakan perlu menyerahkan kerusi-kerusi pilihan raya yang ditandingi sebelum ini kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) lain jika mereka merasakan tidak yakin untuk menang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu wajar kerana tiada gunanya parti tersebut memasuki gelanggang pilihan raya jika tidak melakukan persediaan yang secukupnya untuk bertanding.

"Dan jika mereka benar-benar tidak berkemampuan mempertahankan kerusi berkenaan, mereka hendaklah dengan rela memberikan kerusi-kerusi yang diperuntukkan dalam PRU Ke-12 kepada mana-mana parti komponen BN yang yakin mampu untuk merebut kembali kerusi berkenaan," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidifitri Parlimen Bagan Datoh di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan dalam sebuah portal berkata, DAP boleh mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri untuk sepenggal lagi dengan memenangi PRU Ke-13.

Bagaimanapun, Hock Nan percaya Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak akan mampu untuk menerajui negeri itu selepas PRU-14 ekoran pendekatan dan caranya menguruskan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, parti-parti komponen BN terutama Gerakan tidak seharusnya menyerah kalah sebelum berjuang tetapi perlu memperbaiki kelemahan yang ada pada diri masing-masing.

Beliau yakin sekiranya semua pihak mengambil kira kelemahan yang wujud, BN tetap berpeluang untuk merampas kembali Pulau Pinang.

"Semangat untuk mengubah sokongan daripada kerajaan negeri sedia ada tetap ada. Kalau dengan hanya sokongan orang-orang Melayu sahaja kita masih belum dapat membentuk kerajaan baru.

"Tetapi kalau sokongan juga datang daripada pengundi India dan Cina yang kita lihat semakin bertambah, kita yakin akan dapat mengambil alih semula kerajaan Pulau Pinang," katanya.

Justeru, menurut Ahmad Zahid, kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Gerakan Pulau Pinang itu mungkin hanya bersifat peribadi semata-mata.

"Pendirian UMNO Pulau Pinang adalah seperti yang dinyatakan sebelum ini bahawa kita tetap akan bekerja keras untuk mengambil kerusi-kerusi yang kecundang supaya kita dapat membentuk kerajaan baru selepas PRU Ke-13," ujarnya.

Ibrahim Saad
NOTA KAKI
Semasa Dato Seri Dr Ibrahim Saad ( foto) menjadi Timbalan Ketua Menteri, Umno pernah menguasai kerusi DUN Pulau Pinang dan Umno layak melantik Dr Ibrahim menjadi Ketua Menteri ketika itu. Tidak mustahil Umno mampu melakukannya sekali lagi.