Kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih RM1 bilion untuk melaksanakan 58 projek pembangunan bagi meningkatkan taraf kesihatan rakyat seluruh Kelantan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Makhtar Mustapha berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM50 juta dibelanjakan bagi pembinaan sebuah hospital baru Gua Musang dan ia antara projek yang terbesar dilaksanakan di negeri itu.
"Selain itu, 20 klinik desa yang dinaiktaraf dengan pembinaan bangunan baru juga sedang dalam persiapan akhir dan boleh digunakan sebelum akhir tahun ini," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Beliau berkata hospital terbabit mampu memuatkan 56 katil berbanding hospital lama yang hanya boleh memuatkan 34 katil.
"Hospital yang turut dilengkapi dengan dewan bedah itu dijangka mula beroperasi bulan ini," katanya.
Makhtar berkata pembinaan hospital baru itu membuktikan kerajaan persekutuan mengambil berat mengenai masalah kepadatan hospital sedia ada terutama ketika berlaku kemalangan dan kejadian yang melibatkan jumlah pesakit yang ramai.
Beliau mengakui sebelum ini banyak rungutan penduduk terutama pengguna jalan raya yang menyatakan Gua Musang perlu ada hospital serba lengkap dan doktor pakar kerana setiap kali berlaku kemalangan teruk terpaksa dikejarkan ke Hospital Kota Baharu.
"Masalah itu dijangka selesai dalam masa terdekat ini apabila hospital baru mula beroperasi dan orang ramai boleh mendapat perkhidmatan rawatan yang baik serta selesa.
"Sebelum ini pesakit kritikal terpaksa dikejarkan ke hospital di Kota Baharu hingga mengambil masa lebih tiga jam untuk sampai dan berdepan dengan pelbagai risiko," katanya.