MELAKA 27 Okt. - Kerajaan membelanjakan lebih RM350 juta bagi memperindah dan meningkatkan kebersihan Sungai Melaka sehingga ia kini terbukti menjadi antara produk pelancongan popular di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Baharom Majid berkata, keadaan sungai tersebut jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu menunjukkan perbezaan ketara, malah kini diiktiraf setanding dengan kebersihan sungai di negara luar.
Menurutnya, keadaan Sungai Melaka yang asalnya hanya parit kecil dan mengalami pelbagai pencemaran kini sudah bertukar wajah menjadi lebih indah dan menarik sehingga berjaya menarik kunjungan lebih puluhan ribu orang setiap bulan melalui perkhidmatan Melaka River Cruise.
"Keindahan dan kebersihan Sungai Melaka hari ini sudah menjadi bualan di kalangan pelancong terutama dari luar kerana jika dibandingkan keadaannya sebelum ini suasana persekitarannya terlalu kotor dan kurang menyenangkan," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap melancar dan melepaskan pasukan Cabaran Kayuhan 100 Jam Maraton anjuran Persatuan Rekreasi dan Kegiatan Luar Universiti Multimedia Melaka (MMU) di Taman Rempah, di sini hari ini.
Pasukan itu yang disertai kira-kira 50 anggota akan berkayak selama 100 jam tanpa henti bermula di Taman Rempah sehingga ke muara Sungai Melaka selama lima hari bermula hari ini.
Sejak perkhidmatan Melaka River Cruise diperkenalkan di sepanjang Sungai Melaka pada 2006, ia berjaya menarik kunjungan lebih dua juta orang yang menggunakan perkhidmatan tersebut.
Melaka River Cruise milik PPSPM kini menyediakan lebih 40 bot untuk perkhidmatan berkenaan.
Menurut Baharom, inisiatif MMU menganjurkan program tersebut sekali gus membantu meningkatkan populariti Sungai Melaka di kalangan pelancong luar khususnya golongan yang meminati sukan air.
Katanya, pengunjung kini tidak perlu bimbang mengenai pencemaran bau busuk dari sungai tersebut memandangkan masalah tersebut telah berjaya diatasi sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Beliau menasihatkan peserta Cabaran Kayuhan 100 Jam Maraton agar sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang berusaha mencapai sasaran cabaran berkenaan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar MMU, Nizam Syamil Razali berkata, seramai 50 peserta Persatuan Rekreasi dan Kegiatan Luar universiti itu menyertai cabaran tersebut.
Beliau berkata, mereka berkayak selama 100 jam tanpa henti dari Taman Rempah ke Muara Sungai Melaka iaitu kawasan sekitar replika Kincir Air.
Menurutnya, sebahagian besar peserta berkenaan pernah menyertai ekspedisi berkayak selama 72 jam yang dianjurkan di Pulau Pinang dan ada di kalangan mereka anggota pasukan Dragon Boat MMU.
"Acara ini diadakan secara kerjasama PPSPM dan cabaran dijangka tamat pada Ahad ini, kira-kira pukul 1 petang.
"Malahan kita juga ingin menerapkan semangat berpasukan kepada mereka demi mencapai cabaran 100 jam yang bakal dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records," katanya.