Pas patut melihat sama penghapusan kampung-kampung tradisional Melayu seperti mana kerajaan Sarawak mengekalkan Kampung Nelayan di Santubung. Sebuah kampung nelayan yang wujud lebih 100 tahun dahulu.
Hari ini kerajaan Dap Pulau Pinang yang disokong oleh Pas masih membisu dalam soal penghapusan kampung tradisinal Melayu di pulau itu.
Apakah Pas Pulau Pinang pekak dan bisu dan takut untuk bersuara kepada Lim Guan Eng. Ya, memang sah Pas takut kepada Dap Pulau Pinang.
PAS mahu akta kampung tradisi diwujudkan
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 11 Okt: PAS mahu satu akta khusus mengenai kampung tradisi khususnya di Kuala Lumpur dan di bandar-bandar besar lain diwujudkan bagi mengelakkan kampung-kampung ini hilang ditelan pembangunan dan pemodenan.
Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, ahli Parlimen PAS akan membawa isu itu untuk dibahaskan di persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula hari ini.
"Sudah sampai masanya ada satu akta khusus untuk kampung warisan yang kita boleh kenali sebagai akta kampung warisan atau kampung tradisi dan perlu kepada suatu jaminan kewujudan mereka supaya tidak tertinggal atau hapus oleh cabaran zaman," kata beliau yang ditemui di majlis pengisytiharan kampung-kampung tradisi Melayu sebagai Kampung Warisan, dekat sini, semalam.
Majlis pengisytiharan itu dianjurkan oleh Muafakat Kampung-kampung Tradisional (Muafakat) sempena sambutan dirgahayu 150 tahun Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur.
Kampung Bandar Dalam merupakan salah satu kampung daripada tujuh kampung yang terbabit untuk diambil alih kerajaan melalui Draf KL2020.
Salahudin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian juga berkata, kerajaan harus bertanggungjawab mewujudkan akta kampung tradisi kerana ianya merupakan peninggalan golongan terdahulu yang telah bersusah payah meneroka bandar kepada generasi akan datang.
"Kerajaan harus lebih bertanggungjawab untuk mewujudkan akta ini untuk kepentingan generasi masa depan.
"Ia perlu kepada satu bentuk akta yang perlu kita suarakan di Parlimen akan datang iaitu akta yang lebih menyeluruh supaya kampung-kampung ini dapat kita pertahankan atas nama penjagaan warisan yang sangat tinggi nilainya kepada pemikiran dan budaya bangsa," katanya.
Beliau juga bimbang kampung-kampung ini akan digunakan golongan kapitalis untuk kepentingan mereka.
"Saya cukup bimbang kampung-kampung ini akan menjadi mangsa kepada golongan kapitalis yang memang melihat tentang peluang perniagaan atau tanah-tanah yang begitu mahal harganya hari ini.
"Kita bimbang dengan tawaran yang lumayan satu demi satu kampung ini hilang dari peta Kuala Lumpur. Ini bukan sahaja berlaku di Kuala Lumpur tapi juga berlaku di bandar-bandar besar seperti di Johor Baharu, Ipoh dan Alor Setar," katanya lagi.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan itu, Pengerusi Muafakat, Ishak Surin berkata, pihaknya dan penduduk kampung membuat keputusan untuk mengisytiharkan kampung mereka sebagai kampung warisan kerana segala tindakan terhadap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kerajaan tidak mendapat perhatian.
"Sebelum ini, pelbagai langkah dan usaha telah kita lakukan termasuk mengadakan dialog dan menghantar memorandum kepada pihak terbabit namun tidak dihiraukan mereka," kata beliau yang juga ketua kampung Bandar Dalam.
Muafakat juga tegasnya tidak akan berganjak daripada mempertahankan kampung-kampung mereka kerana tidak ada sebarang surat hitam putih daripada DBKL untuk mendraf kampung tersebut sebaliknya hanya menaburkan janji kepada penduduk.
Dalam majlis itu juga, buku 'Sejarah 150 Tahun Kampung Bandar Dalam' turut dilancarkan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.
Pelbagai acara menarik berlangsung antaranya deklamasi puisi oleh A. Samad Said, karyawan Pyan Habib, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dari Rusia, Dr. Peter Porgade dan kumpulan anak-anak Kampung Bandar Dalam yang dipimpin oleh Prof. Dr. Siti Zainon Ismail.
Model-model kampung warisan hasil rekaan pelajar fakulti seni bina UIA turut dipamerkan dan dijangka akan direalisasikan setelah mendapat persetujuan kerajaan.