GUA MUSANG 27 Okt. - Calon Barisan Nasional, Abdul Aziz Yusoff berkata, walaupun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau yakin mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundi jika dipilih sebagai wakil rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas dalam pilihan raya kecil 4 Nov ini.
Abdul Aziz, 49, yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang berkata, pendidikan tinggi tidak menjamin seseorang itu mampu menjadi wakil rakyat yang terbaik jika individu itu tidak mempunyai kemampuan dan kesanggupan untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
"Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba sendiri tidak mempunyai pendidikan yang tinggi dan memulakan kerjaya hanya sebagai seorang guru, namun hasil ketokohan dan kesanggupannya berbakti kepada rakyat, beliau akhirnya menjadi Timbalan Perdana Menteri dan berbakti kepada seluruh negara.
"Jadi soal perbezaan latar pendidikan seperti yang mainkan oleh pembangkang tidak timbul. Yang penting pengundi Galas perlu bijak memilih parti yang mampu untuk melakukan perubahan dan pembangunan di kawasan ini kerana kita telah banyak ketinggalan dari arus pembangunan," katanya pada majlis pemimpin bersama penduduk di Kampung Batu Papan di sini yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.