Ahad, 28 November 2010

BN tak boleh berpeluk tubuh

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak harus mengambil mudah dengan kehancuran parti pembangkang termasuk pergolakan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebaliknya perlu terus berusaha kuat memastikan kejayaan dicapai pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata walaupun berlaku krisis dalaman parti itu menampakkan adanya peluang BN untuk terus mempertahankan kedudukan sebagai parti pilihan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 kelak, namun ia tidak boleh diambil ringan.

"Kita jangan berasa kuat di atas kelemahan orang lain, biarlah apa yang nak berlaku pada PKR... biar parti itu hancur, kita jangan berasa kuat kerana PKR hancur. Umno kena kuat kerana kekuatan sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Kebangsaan Promosi Kesihatan Malaysia 2010 di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini, Sabtu.

Ahmad, yang juga Ketua Penerangan Umno mengulas mengenai tindakan lebih 1,300 anggota PKR di Cabang Hulu Selangor keluar parti pada hari pertama berlangsungnya Kongres Nasional parti itu semalam yang berkuat kuasa serta merta.

Beliau berkata Umno seharusnya dilihat sebagai parti yang teguh berikutan kesungguhan dan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggariskan tujuh perkara yang bertemakan 'Mendahulukan Rakyat' sebagai asas pengisian dalam Model Transformasi Umno semasa ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra Oktober lepas.

Tujuh perkara itu adalah anggota dan pemimpin Umno menjaga maruah dan kepentingan parti lebih daripada kepentingan diri, bertindak bukan dalam kumpulan tetapi dalam satu pasukan, memahami pemikiran dan hati rakyat, menjadi juara media baru, memenangi sokongan empat juta pengundi baru, Umno sifar masalah dan mendahulukan rakyat.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.