Rabu, 17 November 2010

DS Najib temui warga Felda di Putrajaya 12 Disember

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menutup Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2010 yang menghimpunkan 50,000 warga Felda di Medan Pancarona, Putrajaya, pada 12 Disember ini.

Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab berkata, karnival tiga hari bermula 10 Disember itu adalah kemuncak kepada Karnival Iktiraf peringkat wilayah yang diadakan sejak Julai di 11 wilayah Felda di seluruh negara.

Katanya, Iktiraf merupakan program yang digerakkan oleh Seranta (Felda) Jabatan Perdana Menteri dan Felda dengan kerjasama Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) bagi memenuhi aspirasi Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Felda.

"Ia juga adalah pentas bagi generasi baru Felda berkumpul, sama ada mereka masih tinggal dalam tanah rancangan ataupun telah keluar termasuk mereka yang sedang belajar. Di sini mereka akan terlibat dalam pelbagai program khusus yang dirancang untuk memotivasikan diri selain diberikan penerangan secara langsung mengenai perkembangan terbaru Felda," katanya pada sidang akhbar majlis pelancaran karnival yang bertemakan "Mendaya Bangsa, Melestari Perjuangan" di Felda Villa di sini hari ini.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.