Jumaat, 31 Disember 2010

Harimau Malaya atau Harimau Malaysia

KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan bersedia untuk menyenaraikan skuad bola sepak dalam program Road to London 2012 berdasarkan kejayaan skuad Harimau Malaya merangkul kejuaran Piala Suzuki AFF di Jakarta, kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya akan membincangkan perkara itu dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam waktu terdekat,

Jelas beliau, kementerian bersedia mempertimbangkan perkara tersebut setelah menyaksikan kebangkitan sukan bola sepak seperti menerusi kejayaan kelmarin dan prestasi membanggakan pada temasya Sukan SEA dan Asia lalu.

"Bagaimanapun, kita sedar pasukan yang memenangi Piala Suzuki semalam terdiri daripada pemain yang berusia 21, 22 malah ada yang berusia 19 tahun.

"Namun, dengan kejayaan itu, mengapa tidak (menyertakan sukan bola sepak dalam Road to London 2012)," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan Pertunjukan Semua Seni Mempertahankan Diri (AMAEE) di sini, semalam.

AMAEE anjuran Kelab Putera 1Malaysia turut dihadiri Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sementara itu, Ahmad Shabery menjelaskan penggunaan nama Harimau Malaya pada skuad bola sepak kebangsaan dipercayai berasal daripada nama saintifik spesies harimau itu yang terdapat di negara ini.

Justeru katanya, ia sama seperti penggunaan nama Harimau Bengaal di India ataupun Kucing Parsi atau Kucing Siam di negara lain.

"Bagaimanapun Kementerian sedia membincangkan perkara itu dengan pihak berkenaan bagi menjaga sensitiviti semua rakyat di negara ini," katanya.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Jahid Jahim mahu penggunaan gelaran Harimau Malaya untuk skuad bola sepak kebangsaan ditukar kepada Harimau Malaysia, bagi memelihara aspirasi negara dan semangat 1Malaysia.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.