Isnin, 20 Disember 2010

Iran berjaga-jaga ekoran pemotongan subsidi bahan api

TEHERAN 19 Dis. - Kerajaan Iran mengerahkan pasukan polis pencegah rusuhan untuk berkawal di semua persimpangan utama di ibu negara ini apabila pemotongan sensitif dalam subsidi bahan bakar dan bahan makanan mula berkuat kuasa hari ini.

Saksi melaporkan ramai anggota polis ditempatkan di dataran dan persimpangan jalan di Teheran seperti dataran-dataran Enghelab, Sadeghieh dan Valiasr serta kawasan kediaman di barat ibu negara, meskipun keadaan setakat ini tenteram.

Pada 2007, penunjuk perasaan membakar berpuluh-puluh stesen minyak selepas kerajaan menguatkuasakan sistem baru pencatuan petrol bagi mengurangkan akses kepada bahan bakar bersubsidi.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad malam tadi berkata, pemotongan subsidi bahan keperluan itu adalah 'pembedahan terbesar' terhadap ekonomi negara ini dalam tempoh setengah abad.

Selepas Presiden mengumumkan pemotongan subsidi itu malam tadi, kereta dan kenderaan lain kelihatan berbaris panjang di beberapa stesen minyak di Teheran apabila penduduk berkejar untuk mengisi minyak pada harga subsidi sebelum harga baru mula berkuat kuasa pada tengah malam tadi.

Pemotongan itu dilakukan sewaktu ekonomi Iran mengalami kesan daripada empat pusingan sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta sekatan negara tertentu berhubung program nuklearnya yang kontroversi.

Namun Iran memang telah merancang untuk memotong subsidi sebelum sekatan terbaru dikenakan, dan Ahmadinejad serta sekutunya berkata, ekonomi negara ini tidak lagi dapat menampung subsidi yang begitu besar, dilaporkan kira-kira AS$100 bilion (RM310 bilion) setahun.

Mengikut sistem pencatuan baru, setiap pemegang kad bahan bakar perlu membayar AS$0.40 (RM1.24) seliter petrol, berbanding AS$0.10 (RM0.31) seliter sebelum ini.

Kuantiti petrol melebihi kuota seseorang penduduk kini dijadual pada harga AS$0.70 (RM2.71) seliter, meningkat daripada AS$0.40 (RM1.24).

Ahmadinejad juga berkata, kerajaannya akan mengurangkan subsidi roti yang kini berjumlah AS$4 bilion (RM12.4 bilion) secara beransur-ansur. - AP



Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.