ARKIB : 13/12/2010
Bila kes Anwar akan selesai?
Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.mySEPANJANG tempoh perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula pada 3 Februari lalu, tidak kurang daripada 14 permohonan telah dikemukakan oleh Ketua Pembangkang tersebut. Pada tahun lalu pula, empat permohonan telah difailkan sebelum perbicaraan bermula.
Ini bermakna, kurang lebih sebanyak 18 permohonan telah dikemukakan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sejak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008.
Mengambil kira hanya dua saksi sudah selesai memberi keterangan, seorang sedang di peringkat soal balas oleh peguam bela manakala seorang lagi belum disoal balas, jumlah tersebut boleh dikira agak besar bagi satu kes jenayah yang mudah sahaja.
Kes itu sebenarnya cuma melibatkan seorang yang dituduh dan seorang yang menuduh. Hanya kerana kebetulan orang yang dituduh ialah seorang yang berprofil tinggi dan dikenali ramai, maka usaha digali untuk membuktikan motif pendakwaan adalah berbumbukan konspirasi politik.
Disebabkan itu, maka dilambakkan dengan pelbagai permohonan sehingga perbicaraan yang sepatutnya bermula pada 1 Julai 2009 terpaksa berulang kali dijadualkan semula sehingga menjangkau awal tahun ini.
Setiap permohonan pada mulanya didengar di Mahkamah Tinggi. Apabila ditolak atau diterima, pihak yang kalah akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Sudah tentu peringkat rayuan akan mengambil tempoh masa tertentu untuk diselesaikan. Sekalipun begitu, mahkamah turut bertindak cekap apabila rayuan Anwar dipercepatkan pendengarannya.
Mengimbas kembali detik awal, pihak pendakwaan yang memohon untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Anwar membantah tetapi kes itu akhirnya tetap dipindahkan ke Mahkamah Tinggi setelah rayuan beliau turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Siri permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pula bermula pada 10 Jun 2009 iaitu 20 hari sebelum perbicaraan dijadualkan bermula. Pada tarikh itu, Anwar memohon agar pihak pendakwaan membekalkan sebahagian besar dokumen dan spesimen berkaitan kes tersebut kepada pasukan peguamnya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan dokumen dibekalkan kecuali sampel dan spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) tetapi keputusan itu kemudiannya diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan.
Tujuh hari selepas permohonan pertama difailkan, Anwar mengemukakan pula permohonan kedua iaitu bagi menuntut pertuduhan terhadapnya dibatalkan dengan alasan pertuduhan itu adalah satu persendaan, tidak masuk akal dan tidak mempunyai asas sama sekali.
Pada 3 Ogos 2009, Anwar memfailkan permohonannya yang ketiga iaitu bagi membatalkan kenyataan bertulis pendakwa raya yang menyatakan tidak ada fakta memihak kepada pihak pembelaan.
Lapan hari kemudian, beliau memfailkan pula permohonan keempat iaitu untuk mendapatkan perintah perisytiharan agar keseluruhan pasukan pendakwaan digugurkan daripada mengendalikan pendakwaan kes tersebut.
Selain permohonan bagi mendapatkan dokumen dan barangan berkaitan kes itu yang dibenarkan, tiga permohonan lain sebelum perbicaraan bermula, telah ditolak oleh mahkamah.
Semasa perbicaraan berjalan, strategi sama turut digunakan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dengan mengemukakan pelbagai permohonan selagi ada ruang untuk berbuat demikian.
Malahan sejak awal perbicaraan yang sepatutnya pada 2 Februari lalu sebelum ditunda kepada keesokan harinya, Anwar pada saat-saat akhir masih mahu memohon penangguhan dengan alasan menunggu rayuan atau semakan didengar oleh mahkamah yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, Hakim Mohamad Zabidin yang mendengar perbicaraan kes itu dengan senyuman sinis berkata: ''Selagi tiada arahan dari Mahkamah Persekutuan, kes ini tetap berjalan.''
Justeru perbicaraan pun bermula dan pengadu yang juga bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dipanggil memberi keterangan. Namun masuk hari kedua, permohonan lain dikemukakan. Kali ini Anwar memohon supaya akhbar
Utusan Malaysia dikenakan tindakan menghina mahkamah berhubung laporan yang dibuat tetapi mahkamah memutuskan untuk menolaknya.
Rentetan daripada itu, Anwar memohon pula agar Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar kes itu kerana mendakwa wujudnya elemen berat sebelah apabila hakim berkenaan tidak mengambil tindakan menghina mahkamah ke atas akhbar tersebut.
Selepas tertangguh selama tiga bulan, perbicaraan yang disambung semula pada 10 Mei lalu menyaksikan Karpal mengemukakan pula permohonan agar rakaman percakapan pengadu dibekalkan kepada pasukan pembelaan.
Selepas itu juga, sebanyak dua kali lagi permohonan dikemukakan oleh Anwar supaya dibekalkan dengan nota klinikal perubatan doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari semasa dua doktor terbabit memberi keterangan di mahkamah.
Pada 2 Ogos lalu, Anwar buat kali keduanya turut memohon untuk membatalkan pertuduhan liwat, kali ini atas dakwaan wujudnya hubungan intim antara seorang daripada timbalan pendakwa raya dengan Mohd. Saiful Bukhari.
Untuk meyakinkan mahkamah, Karpal turut memohon supaya timbalan pendakwa raya wanita terbabit dan pemuda berusia 25 tahun itu dipanggil memberi keterangan tetapi ditolak oleh hakim.
Tertekan dengan penolakan demi penolakan, pihak pembelaan semakin kalut apabila cuba mengaitkan permohonan itu dengan menimbulkan isu kredibiliti seorang lagi timbalan pendakwa raya, yang dikatakan telah melakukan kesalahan di bawah undang-undang syariah.
Lebih menarik lagi, Ketua Pembangkang itu turut memohon saksi pendakwa ketiga, pakar patologi forensik, Dr. Siew Sheue Feng dikenakan tindakan menghina mahkamah.
Anwar kemudian buat kali kedua memohon hakim tersebut menarik diri daripada mendengar kes itu kerana didakwa tidak mematuhi prinsip keputusan Mahkamah Agung pada 1993 semasa menolak permohonan untuk dibekalkan dengan nota klinikal doktor yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari.
Demikian senarai panjang permohonan yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang tersebut setakat ini. Tentunya permohonan-permohonan tersebut ditimbulkan bagi menuntut haknya demi menegakkan keadilan.
Namun, hakikatnya ia telah menyebabkan perbicaraan berkenaan semakin meleret-leret. Kesudahan bagi perbicaraan itu juga setakat ini, masih jauh.
Jadi, keadilan yang bagaimana ingin dicari oleh Anwar? Apakah adil untuk Mohd. Saiful Bukhari menunggu lebih lama penyudah kes itu? Anwar sewajarnya memberi peluang kepada saksi-saksi pendakwa memberi keterangan masing-masing. Jika keterangan-keterangan itu tidak seiring dengan kebenaran dari kaca mata Anwar, bukankah mudah untuk ditepis oleh beliau?
Ini kerana undang-undang turut memberi peluang dan ruang kepada Anwar mematahkan setiap keterangan saksi mengikut jurus pembelaannya. Apatah lagi beliau diwakili barisan peguam bela yang handal-handal belaka. Khidmat nasihat turut diterima oleh mereka daripada pakar-pakar terkenal yang didatangkan khas dari luar negara.
Namun apa yang berlaku, kes tersebut sudah berlanjutan sehingga tahun hadapan. Mahkamah pun telah menetapkan 21 Januari ini untuk sebutan kes berkenaan bagi menunggu rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan. Bagi Mohd. Saiful Bukhari pula, dia perlu menunggu dan terus menunggu lagi.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.