Chong Wei mara, Hafiz kecundang
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Hafiz Hashim menamatkan saingan Terbuka Korea seawal pusingan pertama dalam kejohanan terakhirnya selaku pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Pemain berusia 29 tahun yang memilih mengundurkan diri daripada BAM berkuatkuasa 1 Februari ini dengan alasan prestasinya yang statik, ditewaskan pemain ranking ke-14, Marc Zwiebler dari Jerman dengan 21-16, 21-13.
Menerusi tiga rekod pertemuan sebelum ini, juara Kejohanan Seluruh England 2003 itu sudah dua kali menumpaskan Zwiebler dan tindakan Hafiz untuk keluar daripada BAM mungkin tepat masanya untuk keluar memperbaiki prestasi diri sendiri.
Sementara itu, jaguh negara, Lee Chong Wei yang turun selaku pemain pilihan pertama memasuki pusingan kedua biarpun diheret hingga ke set penentuan ketika menentang pemain Denmark, Jan O Jorgensen.
Pemain yang baru saja merangkul kejuaraan ketujuh pada Terbuka Malaysia yang berakhir Ahad lalu terpaksa berhempas pulas menumpaskan pemain ranking kesembilan 21-9, 18-21, 21-16 dalam tempoh 54 minit.
Sementara itu, pemain wanita negara, Wong Mew Choo turut layak ke pusingan kedua menewaskan pemain China, Liu Xin 21-18, 21-15 manakala beregu lelaki negara, Mohd Fairuzizuan-Ong Soon Hock turut layak ke peringkat sama menewaskan gandingan Jerman, Ingo Kindervater-Johannes Schoettler 21-13, 20-22, 21-18.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.