Khamis, 27 Januari 2011

Tok Ai Turun Padang Bantu Mangsa Banjir

LABIS, 26 Jan – Bagi penduduk Kampung Lembah Bakti, kehadiran calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azahar Ibrahim hari ini sedikit sebanyak mengubati kesedihan melihat kediaman mereka digenangi air akibat banjir.

Hujan lebat sejak semalam mengakibatkan beberapa buah kawasan rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, termasuk Kampung Lembah Bakti dan Ayer Panas, dilanda bencana banjir.

Sejak 2 petang ini, 92 penduduk Kampung Lembah Bakti terdiri daripada 17 keluarga terpaksa dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan apabila air sungai berhampiran mula melimpah dan memasuki rumah mereka.

Tanpa menghiraukan pakaiannya yang basah serta bahaya arus deras dari sungai terbabit, Mohd Azahar bersama jentera BN meredah banjir untuk meninjau rumah-rumah penduduk Kampung Lembah Bakti yang dinaiki air.

Bekas penolong pentadbir tanah Daerah Kecil Rengit, Batu Pahat itu turut meninjau operasi pemindahan penduduk yang terjejas akibat bencana banjir itu serta pemberian bantuan makanan.

Tindakan pantas calon BN meluangkan masa meninjau masalah banjir di kampong mereka, amat dihargai penduduk.

Salah seorang penduduk, Salimah Ali, 40-an, berkata kehadiran calon BN di kampung ketika peduduk sedang bergelut dengan kesulitan akibat bencana banjir hari ini amat menyentuh perasaan mereka.

“Sekurang-kurang dengan kehadiran dia (Mohd Azahar) menggembirakan kami penduduk kampung, kerana ia menunjukkan yang beliau memang mengambil berat tentang kebajikan penduduk,” katanya.

Masyarakat di DUN Tenang, katanya memang bertuah sekiranya Mohd Azahar dipilih menjadi wakil rakyat mereka, jika memenangi pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Jan ini.

Seorang lagi penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 43, berkata tindakan Mohd Azahar berkongsi kesusahan yang dialami mangsa banjir hari ini selaras dengan slogan kerajaan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’

Ketua Umno Cawangan Kampung Lembah Bakti Ahmad Abdul Rani, 62, pula berkata selain jentera BN, mangsa banjir turut dibantu kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pada ketika ini, kesemua mangsa banjir di Kampung Lembah Bakti ditempat di balai raya kampung berkenaan, yang turut bertindak sebagai pusat pemindahan.

Pilihan raya kecil DUN Tenang akan diadakan pada 30 Jan ini, berikutan kematian penyandangnya allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Dis tahun lepas akibat kencing manis dan jangkitan kuman dalam darah.

Mohd Azahar akan ditentang oleh calon PAS, Normala Sudirman pada pilihan raya kecil ke-14 negara selepas pilihan raya umum 2008.