Nasib Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah dan Adun Temenggor, Datuk Hasbullah Osman yang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak hanya akan diketahui apabila dewan bersidang semula pada penghujung Mac atau awal April depan.
Pengerusi jawatankuasa yang juga Speaker DUN, Datuk R  Ganesan, berkata keputusan jawatankuasa itu akan dibentangkan pada  Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat DUN Perak ke-12 sebelum dibahas dan  dibuat undian dalam dewan sebelum tindakan diambil terhadap kedua-dua  wakil rakyat terbabit.
Katanya, walaupun wakil rakyat PAS itu tidak hadir  memberi keterangan hari ini, pihaknya sudah membuat keputusan selepas  meneliti secara mendalam isu yang dirujuk kepada jawatankuasa terbabit.
"Keputusan sudah diambil hari ini dan ia akan dilaporkan  pada dewan yang akan bersidang tidak lama lagi mengikut mengikut Fasal  72 (2) Perintah-Perintah Tetap sebelum sebarang tindakan boleh diambil  terhadap wakil rakyat berkenaan.
"Khalil Lim dirujuk kepada jawatankuasa ketika  mengambil bahagian pada sesi perbahasan Bajet 2011 pada 2 Disember lalu  apabila mengeluarkan kenyataan ada bomoh dibawa masuk ke dewan pada  sidang Mei 2009," katanya kepada pemberita selepas  mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bagi mendengar keterangan dan isu  membabitkan kedua-dua wakil rakyat itu.
Selain Ganesan, jawatankuasa itu turut dianggotai  Adun Bota; Datuk Nasaruddin Hashim, Adun Slim; Datuk Khusairi Talib;  Adun Hulu Kinta; Datuk Rusnah Kasim manakala dua lagi ahli jawatankuasa  iaitu Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Adun Tebing Tinggi, Ong Boon Piow tidak hadir.
Hasbullah yang hadir memberi keterangan pula dirujuk  kepada jawatankuasa itu selepas mengeluarkan kenyataan ada exco  Selangor menerima rasuah pada tarikh, masa dan tempat sama.
Sementara itu, Ganesan berkata, notis sudah dihantar kepada Khalil Lim  dan Hasbullah untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa berkenaan.
"Pada  2 Disember itu juga, selepas usul dirujuk pada jawatankuasa itu, Khalil  Lim mengatakan beliau akan memberi keterangan kepada jawatankuasa itu  berhubung kenyataannya tetapi saya hairan kenapa beliau tidak hadir hari  ini," katanya.
Adun Titi Serong, Khalil Lim ketika sesi perbahasan  Bajet 2011 mengeluarkan tuduhan ada di kalangan adun tertentu membawa  masuk bomoh ke dalam dewan persidangan pada Mei 2009.
Namun, wakil rakyat PAS itu gagal mengemukakan sebarang bukti apabila  diminta berbuat demikian oleh Adun Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad  Zainuddin Raja Omar.
Ini menyebabkan Adun  Kamunting, Datuk Mohamad Zahir Khalid bangun dan membuat usul supaya  Khalil Idham dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan kerana melanggar  peraturan mengikut Perintah Tetap 36 (3) (a) dan disokong oleh Adun Pengkalan Hulu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.
Adun Temenggor pula dirujuk kepada jawatankuasa itu  selepas membuat tuduhan seorang exco di Selangor terbabit dengan gejala  rasuah.
Beberapa wakil pihak pembangkang  menggesa Hasbullah supaya menarik balik kenyataan itu tetapi beliau  enggan lalu Adun Teja, Chang Lih Kang tampil membuat usul supaya wakil  rakyat BN itu dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan dan disokong oleh  Adun Simpang Pulai, Chang Ming Kai.
SUMBER : PERAK TODAY.COM
SUMBER : PERAK TODAY.COM
