Isnin, 21 Mac 2011

Kedah fokus baru serangan BN, tapi Pakatan dakwa ‘angkara orang gila talak’

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 21 Mac — Sejak sebulan lalu Umno-BN Kedah memperlihatkan kelainan dengan mempertingkatkan serangan, tetapi Pakatan Rakyat (PR) Kedah menganggap mereka terpaksa melakukan serangan terhadap kerajaan negeri kerana bimbang akan kehilangan terus sokongan rakyat terutamanya orang Melayu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Sebelum ini kerajaan negeri PR di Pulau Pinang dan Selangor menyaksikan serangan bertubi-tubi dengan Kedah seolah-olah ‘terlepas’ daripada kempen Umno-BN itu.

Bagaimanapun sejak bulan lalu Kedah juga sudah tidak terlepas daripada radar serangan itu.

Selain itu, pemimpin PR juga menyifatkan langkah BN itu sebagai usaha terdesak kerana sudah ketandusan idea untuk menjatuhkan kerajaan negeri Kedah diterajui Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar, langkah diambil BN yang secara berterusan kerajaan negeri Kedah membuktikan parti itu bimbang terhadap pendekatan diambil Pakatan Rakyat Kedah.

“Serangan itu angkara orang gila talak yang mahukan sangat kerusi di Kedah dan ia menunjukkan BN bimbang pendekatan pentadbiran yang dilakukan Pakatan Rakyat di sini (Kedah).

“BN bimbang hubungan mesra yang terjalin antara pemimpin Pakatan Rakyat dan rakyat akan menyebabkan mereka kehilangan sokongan, BN bimbang apabila kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Azizan menunjukkan corak pentadbiran telus, tiada penyelewengan dan tiada rasuah.

“BN tak mampu untuk atasi apa yang kita telah lakukan sebab itu mereka lakukan serangan dengan menabur fitnah, memburukkan Pakatan Rakyat dan melaga-lagakan kami hanya untuk dapatkan sokongan rakyat pada pilihan raya umum nanti,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Pokok Sena percaya rakyat Kedah khususnya orang Melayu tidak akan terpedaya dengan taktik kotor BN itu.

“Itu harapan dan tujuan BN agar rakyat Kedah terutamanya orang Melayu akan percaya dan kembali sokong BN.

“BN usah bermimpi, orang Melayu sudah bijak dan menerima perubahan yang kita lakukan, mereka tidak akan terpedaya dengan taktik kotor yang digunakan untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat Kedah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Kedah/Perlis Lee Guan Aik berkata, serangan yang dibuat BN itu adalah semata-mata untuk menjatuhkan imej pentadbiran negeri itu.

“Ini semua kerana pilihan raya, nak dapatkan sokongan sebab BN kalau kita lihat tak habis-habis serang Kedah, apa yang kami buat semua tak kena bagi BN.

“BN gunakan strategi dan taktik kotor untuk menjatuhkan imej kami, banyak risalah berbaur fitnah dan hasutan disebarkan... BN mahu tunjukkan negeri Pakatan Rakyat ini tidak OK dan ada masalah,” katanya.

Beliau berkata BN juga akan memperbesarkan isu kecil dan mempolitikkan banyak perkara selain mencipta provokasi.

“Isu yang kecil diperbesarkan... dipolitikkan, BN buat provokasi untuk jatuhkan Pakatan Rakyat.

“Ini adalah strategi BN sejak dari awal lagi, cuma baru-baru ini serangan itu bertambah hebat,” katanya.

Lee juga percaya rakyat Kedah tidak akan terpedaya dengan apa jua strategi untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di negeri itu.

“BN nak bagi rakyat nampak Pakatan Rakyat ini tak betul tapi saya percaya rakyat Kedah tidak akan terpedaya.

“Kalau kita lihat BN sendiri sudah tidak ada idea, sebab itu gunakan taktik kotor seperti ini,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman.

Umno-BN Kedah dilihat telah memulakan serangan terhadap Pakatan Rakyat negeri itu selepas Umno merombak barisan kepimpinan parti Melayu itu dengan meletakkan Adun Bakar Bata Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Pengerusi Umno Kedah.

Umno membawa perubahan kepimpinan awal tahun ini dengan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya awal tahun ini.

Terbaru Ahmad Bashah berkata berkata kerajaan PAS Kedah tidak perlu bersandiwara lagi tentang dakwaan ia telah melaksanakan 80 peratus daripada janji-janjinya yang dibuat oleh Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum yang lepas.

Beliau berkata sekiranya benar ia telah melaksanakannya, maka senaraikan sahaja janji-janji berkenaan dan tidak perlu berdalih dengan menyatakan akan mendedahkan perkara itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah pada 4 April ini.

Ahmad Bashah berkata sekiranya benar kerajaan negeri telah melaksankan manifesto itu, kenapa Azizan melenting apabila ditanya wartawan tentang manifesto PAS Kedah.

Tambah Mahfuz, dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana kerajaan negeri Kedah telah melaksanakan manifesto itu dengan bertindak menurunkan cukai tanah, menguruskan perbelanjaan wang kerajaan negeri dengan lebih berhemah, pembatalan projek loji penapisan minyak di Yan dan tender pembalakan secara terbuka tidak pernah dilakukan Umno dan BN selama memerintah.