Ahad, 20 Mac 2011

Taib Lakar Laluan Bagi Perubahan Kepimpinan Di Sarawak

Buat pertama kalinya selepas sekian lama, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud akhirnya melakarkan jadual dan perancangan awal sebelum beliau menyerahkan pentadbiran kepada kepimpinan baru.



Tampaknya beliau mungkin akan berbuat demikian dalam tempoh dua setengah tahun dari sekarang selepas mengumumkan pada Sabtu yang beliau akan mengetuai Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam pilihan raya negeri ke-10 dan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Balingian buat kali terakhir.

Taib pertama kali melahirkan hasratnya untuk meletakkan jawatan pada 2006 tetapi ia tidak direalisasikan dan beliau terpaksa menangguhkannya.

Beliau tidak menjelaskan secara panjang lebar akan sebabnya ketika itu tetapi pemerhati politik mendapati Taib secara tidak langsung memberikan sedikit gambaran mengenai perkara itu dalam ucapannya pada program "Senada Sejiwa" di Serian.

Taib berkata beliau akan terus menerajui negeri bagi memastikan "pemimpin baru" boleh dikenal pasti dan beliau akan berundur apabila beliau berpuas hati yang pemimpin baru boleh bekerjasama dengan baik.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan mana mana penganti yang berpotensi.

"Saya fikir beliau mahu memastikan penggantinya dan orang di sekelilingpemimpin terpilih itu tidak bercakaran antara satu sama lain; bahawa mereka boleh bekerja sebagai satu pasukan dan menjaga kedudukan BN di negeri ini," menurut seorang pemerhati politik.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian percaya Taib akan melepaskan jawatannya dalam satu atau dua tahun akan datang.

"Jika beliau berundur sekarang, ia mungkin mencetuskan perebutan kuasa dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tunggak gabungan parti pemerintah negeri.

"Beliau perlu membimbing seseorang untuk mengambil alih. Beliau mungkin telahpun membimbing orang berkenaan tetapi atas sebab yang hanya diketahui oleh beliau sendir, beliau telah menangguhkan (peralihan)," katanya.

Daripada perspektif strategi politik, Dr Sivamurugan berkata adalah tidak bijak untuk Taib berundur sebelum pilihan raya atau sejurus selepasnya kerana persoalan siapa bakal menjadi ketua menteri akan menjadi tumpuan berbanding usaha memenangi dan mengekalkan kuasa pada pilihan raya.

"Isu ini lebih rumit. Ia bukan mengenai siapa yang patut jadi ketua menteri. Di Sarawak, ia lebih kepada siapa yang akan menggantikan beliau sebagai presiden PBB dan sebab itu kenapa ia tidak boleh dilakukan dalam waktu singkat," katanya.

Bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya proses peralihan itu akan mengambil masa lebih lama, kemungkinan sehingga pertengahan penggal akan datang bagi membolehkan pengganti berpotensi dipilih daripada kalangan pemimpin kanan parti.

Taib, 75, yang berkata beliau serius mencari pemimpin untuk menerajui parti, akan membubarkan Dewan Undangan Negeri pada Isnin, lima hari sebelum genap 30 tahun beliau menjadi ketua menteri.

Taib telah menjadi presiden PBB dan ketua menteri sejak 26 Mac, 1981.

Sebelum ini, Taib menamakan tiga pengganti berpotensi -- Tan Sri Adenan Satem, Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Haji Openg dan Datuk Seri Effendi Norwawi.

Namun keadaan berubah mengikut peredaran masa.

Tumpuan sekarang ialah kepada barisan pemimpin kanan masa kini -- Timbalan Presiden I Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Presiden II Datuk Amar Abang Johari TunOpeng dan Naib Presiden Kanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Orang dalam parti menyatakan oleh kerana Taib sering menyatakan yang beliau dan Jabu sudah "tua", fokus kini terarah kepada Abang Johari dan Awang Tengah.

Mereka berkata pada mesyuarat parti enam bulan lepas, Taib melahirkan harapannya untuk melihat Abang Johari dan Awang Tengah saling bekerjasama.

"Saya fikir Taib perlukan lebih banyak masa kerana beliau mahu kedua-dua pemimpin ini membuktikan yang mereka boleh bekerja sebagai satu pasukan sebelum seorang daripada mereka dipilih sebagai pengganti, memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar," menurut seorang lagi orang dalam parti.

Dalam sejarah PBB, tiada siapa pernah mencabar presiden parti.

Pada 1998, Adenan dan Abang Johari saling bersaing bagi merebut jawatan timbalan presiden, yang diperuntukkan untuk kaum Melayu/Melanau.

Abang Johari menang berikutan mendapat sokongan padu daripada anggota Dayak disebalik hakikat Adenan mendapat sokongan Taib pada waktu itu.

Adenan, yang tewas, kemudiannya dilantik oleh Taib sebagai naib presiden kanan parti.

Tujuh tahun kemudian, Adenan sekali lagi mencabar Abang Johari, tetapi persidangan perwakilan ditangguhkan apabila dilaporkan ada penyokong Adenan didakwa dikesan mempunyai dua cawangan di kira-kira 40 kawasan.

Orang dalam parti itu berkata Taib, sebagai ahli politik veteran, diketahui tidak suka kepada sesiapa yang cuba mendesak beliau meletakkan jawatan bagi membolehkan peralihan kepimpinan negeri.

Beliau akhirnya pasti akan berundur tetapi beliau mahu melakukannya mengikut rentaknya sendiri, katanya.

"Anda tidak boleh paksa beliau kerana beliau tahu bagaimana untuk membalas balik, sepertimana yang beliau telah lakukan di masa lalu. Beberapa pemimpin politik yang bercita-cita tinggi cuba memaksanya berundur tetapi akhirnya mereka sendiri yang dipinggirkan dalam politik." -

Sumber: BERNAMA