Rabu, 2 Mac 2011

Tindakan Nurul Izzah sertai demonstrasi adalah tindakan yang tidak betul

Tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyertai demonstrasi membantah kezaliman rejim Muammar Gaddafi semalam disifatkan sebagai tidak kena pada masanya.

Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), Profesor Datuk Hamdan Adnan berkata, Nurul Izzah sepatutnya menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin untuk menyelesaikan kemelut yang melanda PKR berbanding menghabiskan masa menyertai demonstrasi.

"Tindakan Nurul Izzah menyertai demonstrasi itu tidak dapat mengelakkan beliau daripada terus berdepan dengan masalah dalaman parti pembangkang itu.

"Kemelut dalam PKR tetap akan berterusan dan ia memerlukan komitmen Nurul Izzah untuk bersama menyelesaikannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nurul Izzah menyertai demonstrasi di depan Kedutaan Libya di sini semalam sehingga mengakibatkan kesesakan teruk di beberapa laluan utama di ibu negara.

Dalam pada itu, Hamdan berkata, tindakan Nurul Izzah menyertai demonstrasi tersebut tidak menyalahi undang-undang memandangkan ia sebagai tanda simpati kepada rakyat Libya.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada niat Nurul Izzah sama ada beliau benar-benar ikhlas atau sekadar mencari publisiti dan selain itu terpulang kepada orang ramai untuk menilai tindakan Naib Presiden PKR tersebut.