Satu lagi projek khas kerajaan melalui Kemeterian Pelajaran berjaya direalisasikan dengan pembukaan SK Santubong di Kuching yang dilengkapi pelbagai kemudahan canggih dalam usaha meningkatkan kualiti pembelajaran murid-murid sekolah terbabit.
Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata pembinaan sekolah berkenaan adalah antara sebelas sekolah yang mendapat peruntukkan RM 13 juta dibawah Rancangan Malaysia ke-Sembilan.
Jelas beliau, sebelum ini sekolah berkenaan hanyalah bangunan kayu satu tingkat yang tidak dilengkapi sebarang kemudahan.
Namun, dengan langkah agresif kerajaan untuk meningkatkan kualiti pelajaran, kerja-kerja menaiktaraf sekolah itu dilaksanakan menjadikan bangunan merangkumi empat blok dua tingkat yang dilengkapi dengan laluan tertutup.
Selain itu katanya, bagi memastikan pelajar di kawasan itu tidak terlepas dengan sistem pembelajaran berasaskan teknologi, kemudahan seperti makmal sains, dewan sukan, pusat sumber, perpustakaan multimedia dan bilik pemeriksaan gigi telah dibina di sekolah berkenaan.
“Ini adalah usaha serius kerajaan pusat dalam usaha memastikan sistem pendidikan bagi masyarakat desa adalah yang terbaik sebagaimana yang ada di sekolah-sekolah bandar.
“Kita tidak mahu peajar-pelajar yang tinggal di desa terkecuali dari sistem pembelajaran yang berkualiti dan atas sebab itu banyak kerja-kerja untuk menaiktaraf bangunan sekolah dilaksanakan saban hari.
Katanya lagi, kerajaan juga amat prihatin untuk memastikan pelajar di desa mendapat pendidikan yang selesa dimana usaha-usaha untuk menggantikan bangunan-bangunan lama sekolah telah mula dilaksanakan.
Tambah Taib, dengan pembinaan dan pembaikan semula bangunan sekolah berkenaan , beliau yakin ia bukan sahaja dapat membawa kebaikan kepada 400 pelajar malah penduduk sekitar dan rakyat negeri itu.
“Kita harap ia akan menutup jurang pemisah antara penduduk bandar dan luar bandar dari segi pendidikan termasuk kemudahan terbaik dan ia sekaligus dapat menaikkan semangat pelajar-pelajar disini untuk menimba ilmu.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai proses pembelajaran sendiri bagi anak-anak, menurut Taib, teknologi adalah antara cara terbaik untuk pelajar-pelajar mencari sendiri ilmu dan pendidikan yang ingin diterokai.
“Kanak-kanak perlu menjadi lebih terpelajar dan melalui internet jalur lebar mereka dapat mencari dan menerokai ilmu yang tidak mungkin diajar di sekolah-sekolah.
“Kerajaan mengambil serius dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar itu di sekolah-sekolah bagi membantu pelajar-pelajar mendapat pendidikan yang sempurna.
Terdahulu projek pembinaan SK Santubong merupakan antara usaha kerajaan pusat yang dikontrakkan melalui Encorp Berhad. Lapan daripada sebelas sekolah telah siap dibina dan diserahkan kepada pihak sekolah manakala tiga lagi masih berada pada fasa terakhir.
Selain SK Santubong, sekolah-sekolah lain di Kuching, Sri Aman, Betong dan Miri Sarawak turut tidak terkecuali mendapat bantuan pembangunan naiktaraf.
Perak Today