Isnin, 11 April 2011

Perkhidmatan kereta api perkasa infrastruktur di wilayah SCORE

Posted on April 11, 2011, Monday

MUKAH: Pembinaan landasan kereta api yang menghubungkan Bintulu, Samalaju, Tatau, Mukah dan Tanjung Manis merupakan opsyen terhadap pengangkutan darat di wilayah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mendedahkan perkara itu semasa berucap merasmikan Pusat Pentadbiran Baru Mukah, di sini pada malam Sabtu.

Beliau yang ditemui media untuk mendapatkan maklumat lanjut berkata, landasan kereta api pertama di negeri ini sejak era Brooke itu bakal memperkasakan lagi infrastruktur di wilayah SCORE.

“Nampak sangat menjanjikan (pembinaan landasan kereta api). Tetapi saya tidak dapat memberitahu anda (media) lebih banyak tentang itu sebab ia masih di bawah kajian.

“Tarikh tentatif landasan kereta api itu akan dibina saya tidak tahu.

Terpulang kepada perunding tempatan berkenaan mencadangkan bila masa yang sesuai.

Kajian sedang berjalan, namun belum siap,” ujarnya.

Jelas Taib, menjelang hujung tahun ini satu kajian mengenai usaha mewujudkan model pekan bijak yang boleh diperbesarkan menjadi bandar moden akan dilakukan.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian itu membayangkan beberapa pekan bijak yang dilengkapi kemudahan elektrik, air, internet dan komunikasi terkini bakal dibangunkan di negeri ini.

“Bagaimana kita hendak melakukannya?

Apa jangkaan kita untuk mengelakkan sistem trafik daripada mengalami kesesakan?

Semua ini perlu dikaji secara mendalam.

“Setakat ini kita belum melantik mana-mana perunding untuk mewujudkan pelan tindakan mengenai pekan bijak itu. Saya sendiri masih mengkaji,” tambahnya.