Satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kabinet akan diadakan bagi mencari pendekatan terbaik berkaitan permasalahan ekonomi yang menjadi bebanan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mesyuarat berkenaan bakal diadakan dalam tempoh dua minggu akan datang dimana beliau sendiri akan mengepalai perbincangan tersebut.
Selain itu tambah beliau, mesyuarat berkenaan juga akan melihat dengan lebih terperinci elemen-elemen ekonomi termasuk isu peningkatan harga minyak dan barang di negara ini.
“Kita akan bincang dan cari pendekatan yang paling sesuai untuk mengenalpasti masalah dan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.
“Sebagai contoh… ekoran peningkatan harga minya dunia yang dilihat memberi kesan mendalam kepada rakyat… ia dilihat mungkin memberi kesan inflasi kepada negara kita… dan permasalahan itu yang akan menjadi topik utama mesyuarat kita nanti.
“Jadi dari mesyuarat tersebut kita harap kerajaan akan dapat mengenalpasti apa tindakan-tindakan yang sewajarnya kita lakukan bagi membantu rakyat dalam menghadapi kesan harga minyak dunia dan sebagainya.” katanya ketika berucap di Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Parlimen Bagan Datoh petang tadi.
Tambah Muhyiddin lagi, kerajaan sudah tentu akan sentiasa mencari jalan terbaik bagi mengelak rakyat terus dibelenggu dengan bebanan kemiskinan akibat peningkatan harga bahan api.
Justeru tambah beliau, kerajaan akan sedaya upaya memastikan setiap agensi yang terlibat dengan pertumbuhan ekonomi negara dapat bergerak dengan lebih aktif dalam usaha memajukan rakyat di negara ini.
“Kita akan lihat di semua aspek… bagaimana sektor-sektor swasta dapat membantu… serta agensi-agensi lain bagi membantu melonjakkan ekonomi negara dan sekaligus ekonomi rakyat.
“Ini merupakan antara usaha proaktif kerajaan yang begitu mementingkan kebajikan dan masalah rakyat… soal ekonomi rakyat adalah sesuatu yang patut dipandang serius… dan itulah yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional selama ini.
Muhyiddin ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Parlimen Bagan Datoh petang tadi.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
PERAK TODAY