Rabu, 11 Mei 2011

Naquib, Mazlan Dipilih Tokoh Melayu Terbilang 2011

KUALA LUMPUR: Tokoh falsafah dan kesusasteraan, Profesor Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Lepas, Datuk Dr Mazlan Othman dipilih sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2011.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena ulang tahun Umno ke-65.

Syed Muhammad telah dilahirkan di Bogor, Jawa pada 3 September 1931 merupakan tokoh falsafah dan penulis buku dalam bidang sejarah, kebudayaan, kesusasteraan, ilmu sufi, metafizik dan falsafah Islam.

Beliau juga pernah mencipta logo-logo pasukan tentera, polis dan Umno.

"Saya lihat sejak 65 tahun usia Umno banyak perubahan yang telah dilakar.

"Perubahan-perubahan ini berlaku memberi penumpuan pelbagai aspek dalam tamadun Melayu dan perkembangan Islam di negara ini," katanya dalam ucapan yang dirakamkan pada majlis sambutan ulang tahun ke-65 Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam Rabu.

Buat pertama kalinya, anugerah Tokoh Melayu Terbilang diberikan pada seorang wanita.

Dr Mazlan merupakan yang merupakan perintis dalam bidang sains dan teknologi di negara ini telah dilahirkan pada 11 Disember 1951 di Seremban, Negeri Sembilan.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak serta Umno atas penghargaan ini.

"Ini merupakan satu langkah progresif Umno mengangkat martabat golongan wanita. Bagi saya Umno merupakan sebuah parti memperjuangkan hak Melayu dan saya berbangga kerana saya salah orang Melayu yang lahir daripada perjuangan Umno, " katanya.

Beliau tidak dapat hadir namun diwakili oleh kakaknya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.