Khamis, 7 Julai 2011

1 Agenda : SKMM digesa siasat pengguna laman sosial hina Agong

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta menyiasat beberapa pengguna laman sosial yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berikutan titah khas baginda berhubung isu perhimpunan haram pada 9 Julai.

Badan bukan kerajaan 1Agenda mendakwa dua pengguna laman sosial Twitter yang menggunakan nama "DAPSugu" dan "AMK Rembau" sudah menghina serta memperlekeh kebijaksanaan Tuanku Mizan.
"Saya sudah membuat laporan polis dua hari lalu, kedua-dua pemegang akaun sosial media itu dengan jelas menghina ketua institusi negara kita dan ketua institusi agama kita," kata Yang Dipertuanya, Zul Azhar Cha.
Beliau ditemui pemberita ketika hadir di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini bagi menyerahkan memorandum berkaitan perkara itu kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Memorandum itu diterima Setiausaha Sulit Kanan Rais iaitu Abdul Rauf Puteh.

Zul Azhar juga mendakwa terdapat beberapa pengguna laman sosial Facebook dan pengguna blog menerbitkan komen berunsur hasutan serta ugutan berhubung perhimpunan haram itu.

Beliau berkata, jika perkara seumpama itu tidak dibanteras, ia boleh menimbulkan kekacauan yang menjurus kepada perpecahan dan mampu menghuru-harakan negara.
"Kita sarankan rakyat untuk pandai menilai sebab penulis-penulis blog datang dari pelbagai identiti dan objektif.

"Ada niat membina, positif tapi ada juga yang datang untuk memecahbelahkan," katanya.

Zul Azhar berkata, 1Agenda sedia membantu dan bekerjasama dengan SKMM bagi memantau kegiatan yang tidak sihat di laman sosial. - BERNAMA
Published with Blogger-droid v1.7.1