Khamis, 14 Julai 2011

“JOM SHOPPING” SELANGOR SATU LAGI MUSLIHAT P/RAYA

Kedai Rakyat 1 Malaysia


KUALA LUMPUR, 14 Julai – MCA Selangor berkata skim kebajikan “Jom Shopping” bagi warga emas oleh Kerajaan Negeri Selangor hanyalah satu muslihat politik yang bertujuan memancing undi rakyat untuk parti pakatan.

Setiausaha MCA negeri Wong Koon Mun berkata sementara Kerajaan Persekutuan tidak pernah menggembar-gemburkan perbelanjaan sebanyak RM422.5 juta bagi membantu warga emas dengan memberikan mereka RM300 setiap bulan, kerajaan pimpinan parti pakatan sebaliknya mahu mereka berbelanja sewenang-wenang.

“Kerajaan Persekutuan pimpinan BN (Barisan Nasional) menyedari tidak semua orang mahu membeli-belah, maka yang demikian memberikan RM300 tunai kepada warga emas untuk digunakan bagi menampung keperluan mereka.

“Pakatan (parti pembangkang) bagaimanapun memutuskan untuk menghadkan pilihan mereka dengan membeli-belah barangan keperluan. Ini jelas menunjukkan kedangkalan kerajaan negeri yang kurang memahami masalah kehidupan harian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Wong berkata di bawah program “Merakyatkan Ekonomi Selangor”, kerajaan Selangor seharusnya menyediakan lebih banyak kedai runcit dan bukannya membawa warga emas keluar membeli-belah.

Beliau berkata hakikatnya program “Jom Shopping” adalah satu lagi propaganda pilihan raya parti pakatan yang sekadar mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa parti itu prihatin terhadap kebajikan warga emas dengan membawa mereka
membeli-belah di pasar raya besar.

Program “Jom Shopping” akan dilancarkan esok dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata program itu membolehkan warga emas untuk turut berkongsi menikmati kekayaan negeri itu.
– BERNAMA