Malaysia dan kerajaan Vatican bersetuju menjalin hubungan diplomatik bagi menggalakkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa.
Pengumuman itu dibuat ekoran pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pope Benedict XVI di Castel Gandolfo, kediaman musim panas pemimpin penganut Katolik itu, di pinggir Rom hari ini.
Menyatakan dunia "berada di persimpangan", Najib berkata Malaysia mahu berkongsi pengalamannya dengan dunia, dan sebab itu kenapa Malaysia komited untuk menjalin hubungan dengan negara yang sealiran dalam menggalakkan dunia yang aman dan harmoni.
"Inilah sebab utama kenapa Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan Holy See.
"Dunia berada di persimpangan, kuasa-kuasa tidak rasional dan perbalahan mengancam kestabilan yang sekian lama kita nikmati dan perjuangkan dan pertahankan selama ini, dan kemakmuran," kata Najib dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan itu.