Khamis, 14 Julai 2011

Pandangan Azli Shukri terhadap pemikiran MAZA

Fatwa Terbaru Asri : Demonstrasi Bersih 2.0 Halal Di Sisi Islam?

Nampaknya selepas memperoleh "title" Prof. Madya - ilmu Dr Asri Zainul Abidin sudah jauh tinggi melangit, mengalahkan ilmu para ulama besar Arab Saudi, sehingga tergamak beliau mendakwa golongan salaf yang berpegang kepada hadis nabi yang menyuruh agar tetap taat kepada pemerintah dan mengharamkan demonstrasi jalanan seperti mana yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 2.0 baru-baru ini, sebagai golongan yang tidak faham akan tujuan dan maksud hadis-hadis nabi tersebut (baca di sini).

Apakah ulama-ulama al-Azhar dan Arab Saudi juga jahil dalam memahami hadis-hadis politik itu? Kerana mereka juga turut mengharamkan perbuatan demonstrasi di Mesir dan di negara-negara Islam lain? Bahkan, ulama-ulama besar Mesir dan Arab Saudi sangat menentang perbuatan demonstrasi yang boleh mencetuskan huru-hara dan pada masa yang sama keadaan tersebut boleh diambil kesempatan oleh pihak ketiga. (Baca di sini).

Apakah ilmu dan kefahaman hadis Dr Asri jauh lebih hebat jika dibanding dengan ulama-ulama tersohor Arab Saudi seperti Syeikh Khalid Ali Muhammad al-Anbariy, Syeikh Abdul Aziz Ibn Baz, Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin, Syeikh Salih Fauzan al-Fauzan dan Syeikh Nasharuddin al-Bani yang sangat terkenal dengan kewarakan, kezuhudan dan ketinggian ilmu hadis mereka - dan berapa ratus pula hadis yang dihafal oleh Dr Asri, sehingga tergamak menyindir kononnya, golongan salaf di Malaysia telah tersalah dalam memahami hadis-hadis yang berkaitan dengan ketaatan terhadap pemerintah?

Sekiranya hadis-hadis yang menyuruh umat Islam agar taat kepada pemerintah sudah tidak lagi relevan pada masa kini, bila dan ketika mana pula hadis-hadis tersebut hendak digunakan? Apakah kita menunggu sehingga Malaysia menjadi kacau-bilau dan hancur musnah, barulah Asri akan menyuruh umat Islam kembali kepada hadis-hadis tersebut?

Kenyataan terbaru Asri di dalam Malaysia-Insider, seolah-olah menghalalkan perbuatan demonstrasi Bersih 9 Julai lalu, walaupun Majlis Fatwa Kebagsaan telah memutuskan bahawa para pelaku yang terlibat dalam perhimpunan tersebut perlu bertaubat, kerana yang mereka lawan bukannya UMNO/BN atau SPR lagi - tetapi yang mereka lawan ialah Yang Di-Pertuan Agong! Inilah yang perlu Asri faham.

Pada hemat saya, Asri bukan lagi golongan salaf atau boleh dilabelkan sebagai ulama salaf. Terlalu banyak pandangannya tersasar jauh daripada falsafah salaf yang kononnya diperjuangkan selama ini. Nasihat saya, hati-hati dengan pandangan Asri...terlalu banyak racun yang mula disebarkan tanpa disedari (Baca di sini).

Hadis-hadis di bawah tidak perlu ditafsir, ia sudah jelas maksudnya. Jangan memandai-madai menafsir sendiri maksud hadis nabi, sekiranya ia sudah jelas dan terang dengan apa-apa yang telah nabi sampaikan. Wallahualam.

1. Huzaifah al-Yaman r.a telah berkata, aku pernah bertanya, Ya Rasulullah! Sekiranya kami ditimpa kesusahan dan kemudiannya Allah s.w.t telah mendatangkan dengan kebaikan, adakah di sebalik kebaikan itu ada lagi kesusahan?Jawab Baginda, Ya! Aku bertanya pula, adakah di sebalik keseusahan itu pula kebaikan? Jawab Baginda, Ya! Aku bertanya lagi, Bagaimana? Sabda Baginda, Akan berlaku selepasku pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak melaksanakan sunnahku dan akan bangkit dalam kalangan mereka, tokoh-tokoh yang hati mereka ialah hati syaitan bertubuhkan manusia. Kata Huzaifah, aku bertanya lagi, Bagaimanakah yang patut aku lakukan wahai Rasulullah, sekiranya aku dalam keadaan sedemikian? Baginda bersabda, Engkau hendaklah patuh dan taat kepada pemimpin, sekali pun ia memukul belakangmu dan merampas hartamu, maka tetaplah patuh dan taatlah. (Hadis Shahih Riwayat Muslim).

2. Wail bin Hujrin r.a meriwayatkan, katanya : Salamah bin Yazid al-Ju’fi bertanya kepada Rasulullah SAW ; Wahai nabi Allah, bagaimana pendapat anda, jika para penguasa bangun meminta hak mereka atas kami dan mereka menahan hak kami? Apakah yang anda hendak perintahkan? Rasulullah bersabda : Dengar dan taatlah, mereka hanyalah akan menanggung apa yang dipikul ke atas mereka dan kamu akan menanggung apa yang dibebankan ke atas kamu. (Hadis Shahih Riwayat Muslim) (Baca di sini untuk penjelasan yang lebih baik)
 
NOTA KAKI:
Sebagai seorang ilmuan muda kadang kala aku cukup tidak memahami pendirian beliau yang kadang-kadang tidak konsisten.  Dulu semasa beliau mula-mula memegang jawatan mufti Perlis suka juga mengikut perkembangan dan pemikiran beliau. kini tidak lagi..