Sabtu, 23 Julai 2011

POLIS TUMPAS GENG SAMUN, BERKAS DUA LELAKI

Polis berjaya menumpaskan geng samun, ragut, curi dan pecah rumah, yang bergiat aktif di Lembah Klang, apabila memberkas dua lelaki dalam tangkapan berasingan, Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berumur 26 tahun yang disyaki melakukan samun menggunakan pistol di Bandar Sri Damansara.

"Kami berjaya menangkap suspek pertama ini di Pangsapuri Saujana Ria, Desa Jaya pada pukul 10 pagi, dan hasil siasatan di pangsapuri itu, polis merampas beberapa barang kemas, seutas jam tangan, kad pengenalan mangsa ragut, I-phone, komputer riba, kad ATM dan kad kredit serta sepucuk revolver .38 jenis Smith & Wesson beserta peluru," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata suspek kedua ditahan di Kayu Ara, Damansara, yang membawa polis ke sebuah pangsapuri di Damansara Utama di mana sepucuk pistol dirampas dan lelaki itu dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar Lembah Klang.

Mohd Adnan berkata semakan mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod kesalahan lampau dan kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis syabu. "Mereka kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan pihak polis sedang  mengesan dua lagi lelaki yang terlibat dalam kes yang sama," katanya.