KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Seorang remaja nekad terjun dari rumahnya di tingkat 3 di Pangsapuri Danau Kota, Jalan Genting Kelang, Setakat di sini, dipercayai kerana merajuk selepas berlaku salah faham berhubung duit belanja harian untuk neneknya.
Dalam kejadian pukul 7 malam ini, remaja yang nekad terjun itu terjatuh di atas lantai simen di hadapan sebuah kedai gunting rambut di tingkat bawah.
Orang ramai yang berada di sekitar kawasan kejadian segera menghubungi ambulans yang kemudian membawa remaja itu ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan berikutan kecederaan yang dialaminya.
Beberapa orang saksi yang ditemui berkata mereka mendengar bunyi seakan benda jatuh dan terkejut melihat remaja itu terlantar di tingkat bawah.
Nenek remaja itu, ketika ditemui Bernama berkata dia berseloroh dengan cucunya berkenaan duit belanja untuknya yang sedang sakit.
"Nenek bergurau sahaja dengan dia dan bertanya duit untuk nenek mana? Kemudian dia seakan marah dan berkata 'sudah beri dah duit itu semalam' dalam keadaan meninggikan suara sebelum dimarahi seorang abangnya kerana bercakap dalam nada suara yang tinggi," katanya.
Berlaku pertengkaran kecil sehingga menyebabkan remaja itu merajuk dan mula mengugut untuk terjun dengan berpaut pada balkoni di tingkat tiga di depan rumahnya, kata nenek itu.
Mungkin tersinggung dengan tindakan abangnya yang tidak melayan ugutannyaitu, remaja itu nekad terjun.
Nenek remaja itu, yang kelihatan uzur, memelihara lima orang cucu bersendirian termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas ibu bapa mereka meninggalkan mereka bersama neneknya.