Kuala Lumpur |
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) — Beberapa laluan menuju ke pusat bandar raya dilaporkan mengalami kesesakan ekoran penutupan beberapa jalan bermula awal malam ini.
Tinjauan Bernama pada kalangan pengguna jalan raya mendapati mereka terperangkap dalam kesesakan sehingga berjam-jam lamanya sebelum tiba di rumah masing-masing di pinggir ibu kota.
Seorang penjawat awam di Kementerian Pelajaran di Putrajaya memberitahu Bernama beliau mengambil masa tiga jam untuk sampai di Plaza Tol Sungai Besi sebelum tiba di rumahnya di Pantai Dalam kira-kira setengah jam kemudian.
Di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala umpur, pengguna memberitahu hanya satu lorong dibuka berbanding tiga pada hari-hari biasa.
“Saya mengambil masa tiga jam untuk sampai ke rumah di Jalan Ipoh malam ini,” kata P. Nania yang memandu dari tempat kerjanya di sebuah kolej swasta di Subang, Petaling Jaya.
Seorang pemandu di sebuah syarikat pula berkata beliau mengambil masa enam jam bagi perjalanan pergi-balik Kuala Lumpur-Shah Alam.
“Tiga jam hendak ke Shah Alam, tiga jam balik KL,” katanya yang mahu dikenali sebagai Meor.
Dalam pada itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa jalan berhampiran Dataran Merdeka dan Stadium Merdeka agak lengang.
Beberapa anggota polis turut dilihat mengadakan kawalan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad berhampiran Dataran Merdeka dan pintu masuk Stadium Merdeka.
–BERNAMA