Jumaat, 12 Ogos 2011

ISU SERBUAN JAIS DI GEREJA METHODIST DAMANSARA UTAMA, PETALING JAYA - PAS TERKELIRU ATAU DIKELIRU ATAU MENGELIRUKAN UMAT ISLAM?



Nampaknya isu serbuan JAIS di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya masih belum lagi selesai. Hari ini umat Islam tertumpu kepada kepimpinan tertinggi PAS sebuah parti politik yang mendakwa memperjuangkan "Negara Islam" pada suatu ketika dahulu dan kini telah beralih arah kepada " Negara Berkebajikan " iaitu setelah duduk semeja dengan pakatan pembangkang sekarang ini. Tidak kisahlah apa yang hendak diperjuangkan oleh PAS kerana PAS tiada bezanya dengan Umno, PKR, DAP dan sebagainya kerana pemimpin-pemimpin mereka adalah terdiri daripada orang-orang yang mahu kepada 'kuasa' bagi memerintah negara.

Ketika majoriti umat Islam berasa amat marah dengan apa yang berlaku di sebuah negeri termaju di Malaysia yang diperintah oleh seorang Menteri Besar yang beragama Islam, perkara yang memalukan pula berlaku di kalangan kepimpinan sebuah parti politik yang mendakwa begitu Islamik berbanding orang lain di negara ini iaitu PAS. Saya merasa amat sedih apabila mereka yang mempunyai ilmu agama yang tinggi di dalam parti tersebut (kecuali golongan hardcore Anwarinas) tidak mampu untuk membuktikan kepada umum bahawa mereka adalah 'pembela Islam' sebagaimana yang kita harap-harapkan.

Saya tabik kepada YB Datuk Dr HassanB Mohd Ali, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga JAIS yang telah dengan beraninya bangun untuk menjalankan tugas mereka demi agama Islam. Tiada takut pada tekanan politik kerana bagi mereka yang penting adalah soal maruah dan kedaulatan agama Islam itu sendiri. Tabik juga kepada Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang telah dengan beraninya sebagai seorang Islam bangun mengeluarkan kenyataan keras bahawa "Dewan Pemuda Pas Pusat akan tetap mempertahankan akidah umat Islam daripada dirosakkan, sekalipun dengan darah dan nyawa". Kenyataan beliau yang jelas menjurus kepada sokongan terhadap tindakan pihak JAIS itu sebenarnya amat-amat diperlukan di saat sebilangan umat Islam di Malaysia pada hari yang telah menjadi seperti ' lembu-lembu yang dicucuk hidungnya ' oleh golongan ahli politik bukan Islam khasnya daripada pihak DAP.


Dato' Dr. Hassan Mohd Ali dan Nasrudin Hassan adalah dua individu penting di dalam PAS yang telah memberikan sedikit harapan dan sinar kepada umat Islam di Malaysia tentang keberanian mereka menongkah arus untuk menyelamatkan akidah umat Islam yang telah semakin tercabar ketika ini. Mereka tidak takut kepada jatuhnya populariti politik akibat daripada tindakan mereka untuk menyelamatkan akidah umat Islam berkaitan isu ini. Walaupun mereka menerima tekanan daripada pihak dalaman PAS sendiri yang tidak senang dengan apa yang berlaku namun mereka tetap dengan pendirian mereka yang tegas. Inilah watak ahli politik yang kita mahu.
Saya ingin bertanya kepada kepimpinan tertinggi PAS terutamanya golongan "Anwarinas" mengapakah anda tidak bertindak seperti YB Dato' Dr Hassan Mohd Ali ataupun Nasruddin Hassan? Kenapakah anda yang berdegar-degar di pentas ceramah politik tidak berdegar-degar mengutuk apa yang berlaku di gereja itu? Adakah isu ini terlalu kecil bagi anda walaupun ianya melibatkan maruah agama Islam yang anda sendiri anuti? Apakah anda lebih sayangkan karier politik anda berbanding akidah umat Islam? Kalaulah JAIS selaku sebuah jabatan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam di Selangor tidak pihak anda percayai apakah anda akan lebih percaya kepada pihak Gereja Methodist Damansara Utama dan para sekutunya? Hairan bin ajaib saya!
Saya ingin bertanya kepada pihak kepemimpinan tertinggi PAS- adakah PAS pada hari ini telah "terkeliru" dalam isu ini akibat persahabatan dengan PKR dan DAP? Atau apakah PAS pada hari ini telah "dikelirukan" akibat persahabatan dengan PKR dan DAP? Atau apakah PAS pada hari ini semakin "mengelirukan" akibat persahabatan dengan PKR dan DAP? Saya berani mengatakan bahawa sebenarnya kepemimpinan tertinggi PAS telah keliru di antara perjuangan agama dengan perjuangan politik mereka.

MUKTHER RIZAM BIN AHMAD
KETUA PENERANGAN,
PERKASA DAERAH LARUT MATANG & SELAMA, PERAK
12 Ogos, 2011

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.