Rabu, 31 Ogos 2011

Takwim Hijrah perlu selaras satu dunia


Kecoh tarikh Hari Raya Aidilfitri di Indonesia


JAKARTA – Penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri menjadi perbalahan apabila sekumpulan pengikut pertubuhan Islam kedua terbesar di negara ini, Muhammadiyah menyambut hari raya semalam walaupun pemerintah Indonesia menetapkan 1 Syawal jatuh pada hari ini.
Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia mengumumkan lewat kelmarin bahawa 1 Syawal jatuh pada hari ini dan bukannya semalam seperti mengikut kebanyakan kalendar.
Menurut Ketua Pengarah Hal Ehwal Islam di Kementerian Agama, Nasaruddin Umar, persetujuan telah dicapai dalam kalangan ramai pihak termasuk pakar-pakar astronomi, tentera laut, Agensi Penilaian dan Aplikasi Teknologi serta cendekiawan Islam bahawa kedudukan anak bulan amat rendah sekali gus menyebabkan 31 Ogos adalah tarikh yang tepat untuk permulaan bulan Syawal.
Kedudukan anak bulan itu adalah kurang dua darjah di atas kaki langit.
Bagaimanapun, pertubuhan Muhammadiyah yang mempunyai 20 juta pengikut menggunakan perkiraan hisab bagi menentukan tarikh Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi Muhammadiyah, Haedar Nasir berkata, walaupun terdapat perbezaan dalam menentukan tarikh Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, ia tidak menjejaskan hubungan persaudaraan dalam kalangan Muslim di negara ini.
Hari Raya Aidilfitri turut disambut semalam di Arab Saudi, Palestin, Rusia, Mesir, Malaysia, Sudan, Kenya, Belanda, Kosovo, Afghanistan, Somalia, Bosnia, Syria, Jordan, selatan Thai dan Filipina. – Agensi

Nota Kaki:
Sila rujuk artikel terdahulu yang menceritakan negeri Perak berhari raya awal sehari pada tahun 1983. Kita sudah mempunyai kemudahan yang canggih, manusia boleh berhubung dan bercakap dengan manusia lain dari segenap pelusuk dunia.

Jadi, jika sistem takwim Islam diselaraskan satu dunia, maka tidak ada lagi percanggahan dalam Islam. Melihat anak bulan adalah sebagai panduan yang disebut oleh Nabi Muhammad. 

Zaman sudah berubah, jika 1400 tahun dahulu umat Islam melihat anak bulan dengan mata kasar, kini menggunakan teropong. perubahan lah namanya.