Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi |
DIKATEGORIKAN sebagai kawasan paling sensitif ekoran ancaman Kumpulan Abu Sayyaf yang berlaku di Pulau Pandanan dan Pulau Sipadan sejak lebih sedekad lalu, Pulau Danawan kini diberikan perhatian penuh oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi ATM, kerajaan menyalurkan bantuan tidak kira di bandar, luar bandar atau pulau-pulau termasuk rakyat atau bukan rakyat selagi mereka berada di bumi Malaysia.
“ATM juga akan sentiasa mengawasi perairan ini dan tidak akan mengizinkan walaupun seinci tanah pun diceroboh oleh pihak asing,” katanya tegas.
Ahmad Zahid berkata, ia adalah jaminan rasmi Kerajaan kerana selain menjaga keselamatan dan memantapkan benteng pertahanan, kawasan-kawasan yang agak jauh dari bandar perlu diberikan keprihatinan dari segi pembangunan infrastruktur.
“Atas dasar kemanusiaan, kita membantu tanpa mahukan sanjungan atau pujian. Apa yang dilakukan ini tidak disalahtafsirkan. Keprihatinan kami adalah ikhlas.
“Sejak 2005 sehingga kini tiada insiden membabitkan kumpulan bersenjata yang memasuki atau bergerak aktif di sekitar perairan Timur Sabah,” katanya.
Jelasnya, para penduduk di kawasan perairan dapat menjalani kehidupan dan aktiviti harian dengan bebas tanpa gangguan yang boleh mengancam keselamatan mereka.
Sementara itu, Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman pula berkata, pulau-pulau di perairan Timur Sabah merupakan aset penting negara.
Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman. |
“Amat penting bagi semua kawasan dikawal seketatnya daripada ancaman luaran mahupun dalaman demi menjaga keamanan negara,” katanya.
Ahmad Kamarulzaman berkata, Op Pasir melibatkan semua aset di bawah Kementerian Pertahanan terdiri daripada Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara di bawah Markas Tugas Angkatan Bersama 2 (MTAB2).
“Pendekatan bersama merupakan konsep penggabungan aset daripada ketiga-tiga perkhidmatan bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan operasi tersebut.
“Pada masa yang sama, kita mengadakan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM),” katanya.
Op Pasir juga meliputi inisiatif konsep rondaan mesra dan program bertanya khabar berikutan kepentingan menjalin hubungan dengan masyarakat setempat.
Selain itu, ATM melaksanakan program khidmat masyarakat atau Program Jiwa Murni bagi membantu masyarakat setempat khususnya di kawasan pedalaman secara berterusan dan konsisten.