Pentas perdebatan juga telah dibuka oleh Kerajaan PAS Kelantan dengan menjemput Khairy Jamaluddin (KJ) Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia beradu kehebatan pidato dengan Ayam Sabung PAS iaitu Mat Sabu selaku Timbalan Presiden PAS. Mat Sabu kononnya menolak dan melepaskan tanggungjawab untuk berdebat itu kepada Pemuda PAS Johor. Saya agak lucu melihat isu ini kerana kita seolah-olah sedang menonton 'opera Cina' ataupun 'wayang tongkol'. Kadang-kadang terfikir oleh saya betapa bodohnya kita sebahagian orang Melayu ini. Kita berkelahi sesama sendiri rupanya…
Saya menyeru kepada semua pihak yang terlibat terutamanya orang-orang Melayu yang masih suka bersengketa sesama sendiri supaya berhati-hati dalam menangani isu Mat Sabu dan komunismenya ini. Isu ini perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan bukannya dengan emosi yang nanti akan memakan diri. Isu komunisme ini adalah isu yang agak 'akademik' dan memerlukan pemikiran yang berbentuk sedikit 'ilmiah'. Jadi jangan terperangkap dengan strategi yang telah dipasang oleh Mat Sabu dan konco-konconya. Jangan nanti terlihat kita yang jadi 'bodoh' dan Mat Sabu yang mendapat untungnya walaupun Mat Sabu bukanlah cerdik sangat dalam isu komunisme ini. Kalau Mat Sabu cerdik, maka dia tidak akan berkata sedemikian rupa.
Saya melihat Mat Sabu dengan mudahnya telah membodoh serta memperlekehkan YB Sdra KJ dengan cara 'menolak' untuk berdebat dengan beliau dalam isu ini. Beliau menyerahkan kepada Pemuda PAS Johor untuk mengambil alih tempatnya. Signifikannya ialah YB Sdra KJ tidak ada 'standard' untuk berdebat dengan beliau kerana beliau adalah seorang Timbalan Presiden PAS Pusat. Sdra KJ hanya layak untuk berdebat dengan Ketua Pemuda PAS negeri sahaja walaupun KJ adalah seorang Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pusat. Pusat dan negeri ada banyak jurangnya. Lihatlah politik Mat Sabu..Orang seperti Mat Sabu akan mempunyai 1001 alasan di atas penolakan ini.
Secara umumnya saya tidak percaya bahawa kebanyakan rakyat Malaysia akan percaya dengan dakyah Mat Sabu ini. Dari segi psikologinya orang sudah tahu bahawa "Komunis" adalah berwatak jahat walau cuba dibela dengan apa cara sekalipun oleh Mat Sabu dan para sekutunya. Memanglah "Mat Indera" adalah orang Melayu, tetapi kita jangan lupa bahawa "Mat Indera" adalah seorang Melayu yang bersama dengan "pengganas komunis". Dari sudut psikologinya juga semua orang tahu bahawa "Pasukan Polis" adalah penjaga keamanan sesebuah negara dan takkan mungkin berlaku orang akan mengatakan bahawa "komunis" adalah lebih baik daripada "Pasukan Polis". Orang yang mengiyakan kenyataan bodoh Mat Sabu adalah para penyokong tegar perjuangan sonsang beliau sahaja. Mereka ini tidak seramai manapun..Cuma kenyataannya sahaja yang berdegar-degar.
Semakin banyak komen yang dibuat maka akan semakin banyak fakta bodoh yang sengaja diada-adakan bagi menyokong perjuangan komunis. Maka kita akan membuka ruang yang semakin banyak untuk memperlihatkan segala kelemahan dan kekucar-kaciran bangsa kita. Bangsa lain tersenyum melihat kebodohan kita.
Pihak Kerajaan mempunyai banyak cara untuk menangani isu komunis ini. Apa guna mempunyai Kementerian Dalam Negeri jika masih takut-takut atau teragak-agak untuk mengambil tindakan?
Ikutlah prinsip yang diamalkan oleh seseorang doktor, jika sesuatu penyakit itu perlu dibedah maka kita perlu bedah..Jika penyakit itu perlu diberikan suntikan maka kita berikan suntikan dan jika sesuatu penyakit itu ringan, maka kita berikan panadol sudahlah..Soalnya mahu mengambil tindakan atau tidak. Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya mahukan negara saya aman dan saya mahu pihak Kerajaan bertindak tegas dalam isu ini!! Carilah punca penyakit ini dan ambil tindakan sahaja terhadap punca itu.
Akhirnya janganlah kita menjadi "pandai tak boleh diikut, bodoh tak boleh diajar…."
Mukther Rizam Bin Ahmad
Ketua Penerangan
PERKASA Daerah LMS
6 September, 2011
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.