Jumaat, 28 Oktober 2011

Hanya Orang Dalam Gua Yang Tidak Faham Konsep Gagasan 1Malaysia -- Ahmad




KUALA LUMPUR, 27 Okt -- "Hanya orang dalam gua sahaja yang masih tidak faham dan mempertikaikan konsep Gagasan 1Malaysia kerana lebih 70 peratus rakyat Malaysia faham dan tahu asas gagasan tersebut terutama dari sudut perpaduan, keharmonian dan menghormati perbezaan dalam kepelbagaian kaum," ujar Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan di sini, hari ini.

Walaupun begitu katanya, sesi penerangan berhubung konsep Gagasan 1Malaysia itu akan diteruskan terutama dalam memberi kefahaman lebih jelas dalam lapan elemen yang terkandung dalam konsep gagasan tersebut.



"Di dalam aspek Gagasan 1Malaysia terdapat lapan nilai iaitu budaya prestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya ilmu, budaya inovasi, integriti, ketabahan, kesetiaan dan kebijaksanaan. Kita di bahagian Penerangan telah melakukan pelbagai program untuk menerangkan lapan nilai ini kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Hasil daripada program yang berterusan inilah, rakyat Malaysia memahami bahawa Gagasan 1Malaysia adalah gagasan perpaduan, gagasan keharmonian antara pelbagai kaum. Tidak ada lagi di Malaysia ini yang tidak pernah mendengar perkataan 1Malaysia kecuali mereka duduk dalam gua," katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan UMNO-Online di sini.

Jelas beliau lagi tidak dapat dinafikan ada pihak yang seboleh-bolehnya cuba menentang gagasan 1Malaysia ini dan pihak tersebut terbahagi kepada dua kumpulan.

Kumpulan pertama tegasnya sudah pasti adalah pembangkang kerana mereka bimbang sekiranya 1Malaysia ini berjaya, mereka sudah pasti akan dipinggirkan malah mereka akan kehilangan kerusi dalam pilihan raya.

Kumpulan kedua pula menurut beliau adalah kumpulan tertentu yang cuba memperlekeh dan mempertikaikan apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan walaupun mereka ini bukan terdiri daripada mereka yang suka berpolitik.

"Mereka ini tidak mahu mengambil tahu perkembangan dan tidak pernah merujuk dalam laman web 1Malaysia yang di dalamnya terdapat pelbagai maklumat dan jawapan daripada kemusykilan mereka.

"Pembangkang pula merasakan mereka mempunyai sokongan daripada kumpulan ini atas anggapan seolah-olah kerajaan ini tidak adil kepada pelbagai kaum dan sebagainya sedangkan 1Malaysia ini ada prinsip keadilan sosial untuk semua kaum", ujarnya.
Category:
News & Politics
Tags:
ahmslan 1m
License:
Standard YouTube License