Jumaat, 28 Oktober 2011
Apa motif Pegawai Jabatan Perhutanan Perak bawa senjata untuk berbincang dengan Orang Asli ?
Kerajaan negeri dibawah pentadbiran Barisan Nasional tidak habis-habis melaksanakan agenda pembangunan yang mampu membela nasib rakyat pelbagai kaum termasuk masyarakat Orang Asli.
Namun sekiranya wujud agensi-agensi kerajaan yang bertindak bertentangan dengan usaha itu maka tidak hairanlah rakyat merasakan mereka tertipu dengan setiap agenda yang telah direncanakan itu. Akhirnya kesalahan itu ditanggung oleh pemimpin negeri.
Jika sebelum ini, PerakToday memaparkan perihal seorang ahli DAP yang menceroboh tanah milik penduduk di Chenderiang, kali ini kes yang hampir sama berlaku kepada masyarakat Orang Asli di Langkap.
Apa yang lebih memalukan pencerobohan tanah Hutan Simpan Chikus berkeluasan beribu-ribu hektar itu bukan dilakukan oleh orang luar sebaliknya didalangi pegawai Jabatan Perhutanan.
Menurut Tok Batin Kampung Palawan Chikus, Apong Bahel, penduduk kampung itu telah dihalang dari menjalankan aktiviti pertanian sedangakan tanah itu adalah milik kerajaan negeri untuk masyarakat orang asli bercucuk tanam.
Ketika penduduk kampung berkenaan cuba berbincang dengan Jabatan Perhutanan Negeri, agensi itu melayan mereka dengan teruk sekali malah berkelakuan seperti ‘Gengster’ dengan diiringi pihak keselamatan bersenjatakan senapang dan gari.
Secara logiknya, adakah masyarakat Orang Asli berkenaan adalah tergolongan dalam kumpulan penjenayah atau pemberontak yang memerlukan pihak Jabatan Perhutanan membawa pihak keselamatan dan bersenjata api.
Sudah lah merompak harta kerajaan yang diusahakan masyarakat Orang Asli, bertindak pula seperti merekalah yang berkuasa.
Mana-mana manusia pun akan berasa takut apabila mereka diacukan dengan senjata api dan tindakan Jabatan Perhutanan itu membuatkan mereka terasa seolah-olah telah melakukan kesalahan terlalu besar.
“Kami berasa kecewa apabila melihat dorang datang dengan membawa senjata api kan datang ke kampung kami, kami rasa terkilan la..sebab tiap kali kami meeting kami tak pernah buat macam itu kan.
“Dalam perbincangan itu, pihak jabatan memaklumkan bahawa aktiviti yang dijalankan masyarakat orang Asli di kawasan tersebut menyalahi undang-undang. Malah, sumber-sumber pertanian yang diusahakan mereka turut dimusnahkan.
Namun apa yang peliknya, jika ia menyalahi undang-undang, mengapa pula ada pihak tertentu diberi kebenaran oleh Jabatan Perhutanan untuk meneroka kawasan tersebut.
Maka jelas disini, wujudnya kumpulan-kumpulan mafia dalam Jabatan Perhutanan Negeri yang sewenang-wenangnya menindas golongan Orang Asli di Perak dan sikap mereka ini dilihat semakin melampaui batas.
Kes ini telah pun dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi kerajaan Perak memalui Adun Sungai Manik, Dato’ Zainol Padzi Paharuddin
Menurut Zainol, sebelum ini beliau pernah mencadangkan kawasan tersebut kepada Yayasan Bina Upaya (YBU) untuk diambil alih dan diberikan kepada golongan memerlukan termasuk masyarakat Orang Asli.
Namun, Jabatan Perhutanan membantah dengan alasan kajian dan penanaman semula akan dilakukan di situ.
“Jadi kita nak lihat kewajaran, tidak mahu nanti dikatakan kerajaan bersikap tidak adil untuk lain-lain orang Asli dan sebagainya..tetapi realitinya bukan kerajaan yang mengambil tindakan begitu tetapi realiti nya mungkin prosedur jabatan dan sebagainya.
PerakToday akan cuba mendapatkan maklum balas dari Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan kes ini.
Sementara itu Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan penerokaan haram Hutan Simpan Kekal Chikus di Langkap, Teluk Intan sebagai serius dan percaya perbuatan tidak bertanggungjawab itu didalangi sindiket.
Beliau berkata lawatan yang dilakukan oleh anggota exco Datuk Zainol Padzi Paharuddin ke kawasan hutan itu bersama penduduk Orang Asli Kampung Palawan Rabu lepas adalah mewakili kerajaan negeri bagi melihat sendiri isu itu.
“Saya kini menunggu laporan dari beliau (Zainol) dan akan membuat keputusan selepas menerimanya…saya tidak menafikan perkara ini melibatkan sindiket,” katanya kepada pemberita di pejabatnya Jumaat.
Zainol Padzi selepas lawatan itu menyatakan kegiatan penerokaan tanah secara haram hutan berkenaan membabitkan penanaman kelapa sawit dan tanaman kontan seperti betik, limau kasturi, limau nipis dan jambu batu.
Kawasan hutan simpan itu seluas lebih 2,500 hektar.