Rabu, 19 Oktober 2011

Media Berperanan Pacu Bangsa Malaysia Menjadi Moden, Liberal Dan Progresif, Kata Najib


KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata media memainkan peranan penting dalam proses perubahan Malaysia menuju ke arah negara bangsa yang lebih moden, liberal dan progresif.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri tanggungjawab itu perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati kerana proses berkenaan sangat mencabar berdasarkan situasi negara kini yang semakin kompleks.

"Ini juga merupakan cabaran utama kerajaan dan begitu juga dalam amalan media dan kewartawanan di negara ini kerana banyak perkara boleh bertukar menjadi negatif dalam persekitaran negara yang kompleks ini," katanya ketika berucap pada majlis Malam Media Perdana 2011 di Dewan Perdana Felda di sini.

Perdana Menteri berkata dalam persekitaran politik yang mencabar ketika ini juga, media turut memainkan peranan untuk mewujudkan suasana politik yang sihat, pada masa sama berhemah.

Menurut beliau, peranan yang dimainkan media harus bebas dan kini kerajaan sedang mempertimbang untuk memansuh keperluan pembaharuan lesen penerbitan setiap tahun di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Begitu pun, ia tidak bermaksud anda boleh melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya kerana di bahu anda semua tergalas tanggungjawab yang besar untuk mewujudkan masyarakat di negara ini yang boleh dibanggakan," katanya.

Malam Media Perdana 2011 julung kali diadakan bagi meraikan pengamal media dianjurkan Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama semua kementerian.

Majlis dihadiri kira-kira 1,000 orang pengamal media dari media cetak, elektronik, blogger serta wartawan media antarabangsa.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sijil penghargaan kepada sukarelawan termasuk media yang mengikuti misi kemanusiaan di Somalia pada Ogos lalu.

Beliau turut menghulurkan sumbangan peribadi berjumlah RM11,000 kepada jurukamera TV3 Aji Saregar Mazlan yang tercedera sewaktu sama-sama mengikuti misi kemanusiaan itu.

Najib tiba bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan diiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

-- BERNAMA