KUALA LUMPUR, -- Proton Holdings Bhd kini menawarkan   dua  varian baru kenderaan pelbagai guna (MPV) pertama Malaysia, Exora.
Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata model MPV baru berkenaan  mempunyai enjin kecekapan bahan api (CFE) Campro 1.6 liter serba baru  dengan prestasi setanding enjin dua liter.
"Model Exora Bold Premium dan Exora Prime akan hanya boleh didapati untuk pendaftaran pada minggu kedua Januari 2012," katanya.
Pengarah Urusan kumpulan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed  Tahir berkata enjin CFE itu boleh didapati pada Exora Bold Premium baru  dan model Exora Prime yang mempunyai transmisi berubah berterusan (CVT).
Model Prime 1.6 Premium berharga RM88,998 dan Bold 1.6 Premium CVT pada RM79,998.
Bagi satu lagi varian, 1.6 Standard MT, berharga RM59,998 dan Bold 1.6 Executive MT RM70,998.
Menurut Proton, sejak dilancarkan pertama kali pada April 2009, sebanyak  65,049 unit Exora didaftarkan dengan 82,854 tempahan.
"Purata jualan bulanan Exora adalah 1,800 unit dan dengan pengenalan  Exora Bold Premium dan Exora Prime, syarikat optimistik memperoleh  jualan bulanan sebanyak 2,000 unit," katanya.
Populariti Exora juga dapat dilihat di pasaran Proton lain.
Tahun lepas, Exora merupakan satu-satunya MPV dinamakan sebagai antara  10 kereta terbaik di Thailand oleh akhbar berbahasa Inggeris di Bangkok.
Tahun ini, Exora Star meraih dua anugerah di Indonesia -- MPV Bajet  Terbaik 2011 pada anugerah Automotif Indonesia dan MPV Kecil Terbaik  2011 oleh  MobilMotor, majalah ICOTY (Kereta Terbaik Indonesia).
-- BERNAMA
