Sabtu, 14 Januari 2012

Ucapan DS Najib Bukit Gantang-Siri 1



Barisan Nasional percaya keyakinan rakyat terhadap parti itu semakin meningkat berikutan kegigihan pemimpinnya mengotakan janji mengikut kemampuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keyakinan itu terbina setelah rakyat menyedari BN bukanlah kerajaan yang hanya bermain dengan ideologi politik bersifat populis malah sanggup berjanji perkara yang tidak logik atau tidak berpijak di bumi nyata.

“Apa yang kita mampu lakukan, kita lakukan dan apa yang kita janji kita laksanakan sebagai kerajaan.

“Janji-janji itu telah kita dibuktikan dengan pelbagai bantuan yang diberikan kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia dan Menu Rakyat 1Malaysia, pemberian subsidi dalam pelbagai sektor seperti subsidi petrol,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pemukiman ADUN-ADUN BN seluruh negara di Jalan Simpang.

Tambah Najib lagi, sebagai presiden parti itu beliau juga membayangkan akan mengumumkan “durian runtuh” untuk masyarakat peneroka tidak lama lagi dan beberapa insentif lain untuk rakyat.

“Jumlahnya saya tidak akan beritahu lagi, sampai masa nanti saya akan umumkan. Biar suspens sikit,” katanya.

Bagaimanapun, katanya terdapat pihak yang cuba menidakkan usaha kerajaan membantu rakyat.

Katanya kerajaan BN sentiasa berusaha untuk kesejahteraan rakyat dan “tak reti nak spin”.

“Ini politik dia, asyik main pusing sahaja, semua (kita buat) tak kena.

Yang kita buat untuk rakyat dia nak tenggelamkan,” katanya.

Katanya di bawah kerajaan BN sejak negara merdeka, seorang anak nelayan telah berjaya menjadi Menteri Besar bagi menerajui sebuah negeri.

“Jangan hina Menteri Besar (MB). Masa kecil dia selalu ke laut sepatutnya kita kena bangga anak nelayan jadi MB,” katanya merujuk kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Najib juga menyatakan komitmennya untuk terus bekerja keras sebagai Perdana Menteri demi rakyat.

“Saya telah memberitahu isteri saya bahawa hari siang saya semakin panjang dan malam saya semakin pendek. Tapi tidak mengapa demi rakyat,” katanya. PERAK TODAY