Khamis, 2 Februari 2012

Majlis Sehari Bersama Ketua Kampung Perak : Shafie Apdal



Uploaded by ThePerakToday on Feb 2, 2012

Program pembangunan masyarakat luar bandar melalui Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng diharapkan dapat bertindak sebagai wadah penting golongan itu untuk meningkatkan pendapatan, mencari peluang pekerjaan, selain menambah ilmu keusahawanan dikalangan anak muda.

Program transformasi berkenaan yang merupakan projek perintis pertama dilaksanakan sebagai pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, penjagaan kesihatan serta ruang niaga.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberitahu RTC terbabit diwujudkan khusus demi kemudahan semua penduduk dimana ia akan menyatukan aktiviti ekonomi yang boleh menjana pendapatan masyarakat luar Bandar.

"Kita harapkan RTC antaranya dapat tingkatkan mata pencarian, barangan produk luar Bandar dapat dipasarkan dan dalam tempoh yang panjang ia dapat dieksport.

"Matlamat kita juga supaya usaha untuk menjana pendapatan masyarakat ini dapat dicapai jika semua pihak dapat mengembleng tenaga," katanya pada Sidang Media di Majlis Sehari Bersama Ketua Kampung negeri Perak di Teman, Gopeng.

Menurut Shafie, majlis pertemuan bersama Ketua Kampung itu merupakan satu program penting dalam usaha untuk memberi maklumat yang tepat dan sahih mengenai dasar-dasar kerajaan.

Malah katanya, golongan Ketua Kampung dianggap sebagai nadi yang penting untuk membantu kerajaan menjelaskan dasar serta hala tuju Negara kepada rakyat di peringkat akar umbi bagi merungkai segala kekeliruan.

Jelas beliau lagi, dengan kepesatan teknologi tidak dinafikan wujudnya golongan tertentu yang menggunakan media sosial untuk memutarbelitkan maklumat yang cuba disampaikan oleh pemimpin semata-mata untuk kepentingan politik masing-masing.

"Kita tidak dapat nafikan penggunaan media sosial yang semakin luas dimana ia bukan sahaja menjadi trend masyarakat di bandar malah turut menjadi saluran penduduk luar bandar menerima maklumat.

"Namun jika maklumat yang disalurkan itu adalah hasil dari usaha putar belit sesetengah pihak maka ia sudah tentu akan menjejaskan pembangunan Negara.

Justeru katanya, ketua kampung memainkan peranan besar untuk membantu kerajaan member penerangan berkaitan perancangan Negara serta peluang-peluang yang bakal rakyat diperolehi.

"Jadi kita tahu kepentingan untuk pastikan mereka ini mempunyai maklumat tentang dasar-dasar dan arah tuju ke tahap mana pemimpin mahu bawa Negara dalam arus pembangunan.

"Melalui maklumat yang mereka peroleh hari ini maka kelompok ketua kampung ini dapat menjelaskan semula pada masyarakat tentang peluang-peluang tidak kiralah dari perniagaan dan pekerjaan.

Dalam pada itu katanya, maklum balas dikalangan rakyat yang bakal diterima oleh ketua kampung selepas itu akan dimaklumkan kepada agensi kerajaan terlibat dimana ia kemudiannya akan dirangkumkan sebelum dibawa ke peringkat tertinggi.

Melalui pendekatan itu, kerajaan bukan sahaja dapat menyalurkan maklumat malah dapat merancang lebih banyak program pembangunan memalui respon rakyat yang disampaikan melalui ketua kampung.