Ahad, 5 Februari 2012

MB bantu mangsa ribut di Manjung



Uploaded by ThePerakToday on Feb 4, 2012

Nasib mangsa kejadian ribut di Manjung yang telah merosakkan lebih 190 buah rumah akhirnya mendapat perhatian daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang sempat melawat mangsa ribut taufan itu memberitahu kerajaan negeri akan menanggung kos membaiki bumbung yang rosak secara keseluruhannya yang melibatkan ratusan ribu ringgit.

Tambah Zambry, kawasan berkenaan sememangnya merupakan kawasan laluan ribut taufan di mana kejadian itu merupakan kali keempat yang berlaku.

"Kawasan ini memang tempat laluan angin lintang maka keadaan ribut boleh terjadi secara tiba-tiba sahaja dan ini merupakan kali keempat ia berlaku," tegasnya.

Katanya, bagi meringankan bebanan mangsa ribut berkenaan, kerajaan negeri telah mengambil langkah segera dengan mengarahkan pihak-pihak tertentu untuk membina semula bumbung yang telah rosak kesan daripada angin lintang.

"Kita sudah minta mereka baiki bumbung yang rosak, jadi dalam tempoh dua hari ini hampir 40% bumbung berjaya diperbaiki... cuma sekarang kita hanya menunggu bekalan bumbung sampai," kata Zambry.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM40,000 di bawah tabung bencana untu disalurkan kepada kesemua mangsa dimana setiap seorang akan mendapat sebanyak RM200.

Bantuan daripada pejabat MB juga dihulurkan bagi tujuan yang sama dimana RM300 diperuntukkan kepada setiap mangsa.

"Jadi, semua mangsa akan mendapat RM500 seorang dan syarikat Vale dan Bousted juga sudi menghulurkan sedikit bantuan bagi menampung kos kerugian yang dialami oleh mangsa.

"Kita diberitahu setiap syarikat itu masing-masing menghulurkan RM10,000," katanya.

Dalam kejadian ribut di Taman Perumahan Fasa 3A Seri Manjung, dekat Lumut semalam, lebih 190 rumah penduduk di kawasan itu rosak teruk akibat tiupan angin kencang.
www.peraktoday.com